Ni Hsin teroka peluang pasar motosikal elektrik
20 Sep 2021
NI Hsin EV Tech Sdn Bhd, subsidiari milik penuh Ni Hsin Group Berhad (Ni Hsin) memeterai memorandum persefahaman dengan Dongguan Tailing Motor Vehicle Co Ltd (TAILG).
Ia bagi kolaborasi dan meneroka peluang dalam kajian, penyelidikan, pembangunan, pemasangan dan pengedaran kenderaan elektrik (EV) disesuaikan untuk komersial di Malaysia dan rantau Asean.
TAILG antara satu daripada tiga pengeluar utama kenderaan dua roda elektrik di China yang memiliki kehadiran di lebih 75 negara.
Bahagian penyelidikan dan pembangunannya yang menghasilkan lebih 420 paten berkaitan EV berprestasi tinggi, kecekapan dipertingkatkan dan perkhidmatan awan.
Pengarah Urusan Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd, Khoo Chee Kong berkata, sektor pengangkutan bertanggungjawab kepada 14 peratus pelepasan gas rumah hijau global.
Oleh itu, katanya, cabaran mengurangkan pelepasan asap pengangkutan terbukti semakin penting.
“Ia meletakkan penekanan terhadap perubahan teknologi dan organisasi, memacu dunia ke arah elektromobiliti dan pengangkutan sifar pelepasan asap dengan kesan kemuncak mengurangkan pelepasan asap di dalam sektor ini dan menambah baik kesihatan.
“Perniagaan mula menggunakan EV untuk penghantaran kerana ia memberikan penjimatan ketara dari segi penyenggaraan dan kos operasi disebabkan sistem mekanikal yang secara radikal lebih mudah iaitu tidak perlu disenggara selalu seperti memerlukan penukaran minyak sangat mahal,” katanya.
Sumber: Harian Metro 20 Sept 2021 Industry