Nilai pelaburan sektor pembuatan Johor berjumlah RM2.237 bilion dari Jan-Mac
23 Jun 2022
Nilai pelaburan sektor pembuatan di Johor berjumlah RM2.237 bilion bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, peningkatan hampir 30 peratus berbanding RM1.705 billion bagi tempoh sama tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor Lee Ting Han berkata nilai pelaburan sektor perkhidmatan bagi tempoh sama pula adalah RM23 juta.
“Bagaimanapun, sektor perkhidmatan bagi tempoh sama tahun lepas adalah RM39 Juta,” katanya ketika menggulung perbahasan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.
Beliau berkata statistik itu menunjukkan trend positif sekali gus memperlihatkan usaha berterusan kerajaan pimpinan bekas Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad yang telah menyediakan satu asas kukuh untuk kerajaan hari ini menggandakan lagi usaha menarik pelaburan ke Johor.
Lee berkata Johor mempunyai kelebihan berhubung sektor ekonomi apabila negeri ini mempunyai eko-sistem pelaburan, termasuk bagi sektor pembuatan, perkhidmatan serta sektor utama yang lengkap selain kestabilan politik yang amat dipandang serius para pelabur kerana ia berkaitan polisi kerajaan.
“Johor ada pembangunan minyak dan gas secara besar-besaran di Pengerang yang telah mewujudkan rantaian bekalan berkaitan industri itu, termasuk pembangunan industri berasaskan petrokimia di Pengerang dan juga Tanjung Langsat di Pasir Gudang.
“Bagi sektor digital pula, kami sedang giat menarik pelaburan pusat data ke negeri ini supaya rantaian bekalan dapat diwujudkan kemudiannya selepas pembangunan infrastruktur asas, kami juga akan berusaha ke arah meningkatkan perkhidmatan digital,” katanya.
Tambahnya Johor turut memperkasa ekonomi di kawasan luar wilayah Iskandar Malaysia dengan pelaksanaan projek pemangkin seperti Taman Perabot Muar, Maharani Energy Gateway, Hab Pendidikan Pagoh, Hab Pertanian dan Industri Asas Tani Segamat serta Hab Ekonomi Kreatif Kluang.
Sumber: Bernama