NIMP 2030 gariskan idea pacu masa depan sektor perindustrian negara – Liew
28 Ogo 2023
Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada akhir bulan ini bakal menggariskan antara lainnya idea-idea bagi memacu masa depan sektor perindustrian negara.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong berkata ia sekali gus akan membawa kesan terhadap pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor tersebut di negara ini.
“Minggu depan Perdana Menteri akan lancar dan bentang NIMP 2030, dan saya harap dapat memberikan maklumat dan menggariskan idea berkenaan dengan masa depan industri ini, sekali gus menarik DDI dan juga FDI,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ruangan pejabat Infinity8 Reserve Mid Valley Southkey, di sini, pada Ahad.
NIMP 2030 adalah kerangka dasar komprehensif merangkumi misi, keutamaan dan pelan tindakan dalam transformasi sektor perkilangan Malaysia.
Mengenai Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) MITI dan agensi dibawahnya turut meliputi DDI, beliau berkata ia merupakan antara tumpuan Perdana Menteri bagi mengimbangi dan mengurangkan kebergantungan negara kepada pelaburan langsung asing (FDI) untuk menjana pelaburan negara.
“MITI menyambut baik (keputusan itu) dan saya bersama Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersetuju agar DDI turut diberikan tumpuan,” katanya.
Anwar ketika mempengerusikan mesyuarat MPN baru-baru ini dilapor sebagai berkata kerajaan menetapkan DDI sebagai salah satu KPI bagi menjana jumlah pelaburan negara kerana ia berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).
Sumber: Bernama