NS Corp, Havelsan bekerjasama membangunkan Lembah Aeroangkasa NS dan UVV
30 Mac 2022
Cabang pelaburan Negeri Sembilan, NS Corporation menandatangani memorandum kerjasama (MoC) dengan Havelsan iaitu penyedia perisian dan perkakasan yang berpangkalan di Turki untuk pembangunan Lembah Aeroangkasa NS (NSAV) dan ‘Unmanned Vehicle Valley’ (UVV) di negeri itu.
Pengerusi NS Corp Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk pembangunan pembuatan komponen aeroangkasa, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta pembangunan tenaga kerja mahir dan pemindahan teknologi.
“Havelsan mempunyai kepakaran dalam pembangunan perisian industri aeroangkasa, jadi kami akan bekerjasama dalam bidang itu selain pembangunan pesawat tanpa pemandu (UAV).
“Mereka juga mempunyai kepakaran dalam simulator penerbangan yang pada masa sama, membantu kami membangunkan industri aeroangkasa tempatan,” katanya kepada Bernama selepas majlis menandatangani MoC di Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 di sini hari ini.
Mohamad Rafie berkata permintaan tinggi bagi pesawat baharu di rantau Asia akan meningkatkan potensi untuk mewujudkan hab aeroangkasa baharu di Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV2.0).
Kerajaan Negeri Sembilan, melalui NS Corp, telah menyediakan rangka tindakan pembangunan ekonomi yang telah digariskan dalam Pelan Pembangunan Komprehensif MVV2.0, merangkumi tempoh pembangunan selama 25 tahun meliputi kawasan seluas kira-kira 15,378 hektar.
Ia memberi tumpuan kepada empat pemacu ekonomi iaitu pembuatan teknologi tinggi, pelancongan kesihatan, pendidikan dan penyelidikan berasaskan kemahiran, dan perkhidmatan khusus.
Sumber: Bernama