OCIM rancang kembang perniagaan polisilikon di Sarawak
18 Jan 2023
OCIM Sdn Bhd, peneraju dalam pembuatan polisilikon dan tenaga hijau merancang meningkatkan pelaburannya di Sarawak dengan menumpukan kepada mengembangkan pengeluaran polisilikon sedia adanya bagi rantaian nilai solar dan pelaburan baharu mengeluarkan polisilikon bagi semikonduktor.
Syarikat itu berkata, ini akan menjadi polisilikon pertama bagi semikonduktor yang dihasilkan secara komersial di Asia Tenggara.
“Ia akan menjadi asas bagi keseluruhan industri semikonduktor di Sarawak, yang akan menarik syarikat perniagaan berkaitan lain seperti bahan kimia halus, kemudahan dan penyenggaraan.
“Kelaknya, Sarawak akan menjadi hab bagi semikonduktor dan industri bahan kejituan dan dengan itu menjamin asas perindustrian yang stabil,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas kunjungan syarikat itu ke Pejabat Premier Sarawak di sini, hari ini.
OCIM berkata, untuk mencapai pengeluaran komersial pada 2026, syarikat itu akan melaksanakan strategi pelaburannya bermula sekarang.
Pelaburan itu dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan di Sarawak.
“Kami telahpun menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan di Miri secara kerjasama dengan Curtin University untuk menarik tenaga kerja di Sarawak.
“Institut penyelidikan itu akan menyediakan sumber manusia yang berkualiti kepada perniagaan kami dan komuniti tempatan untuk menyokong pertumbuhan mampan Sarawak,” katanya.
Sumber: Bernama