P. Pinang catat pelaburan pembuatan RM6.3 bilion pada suku pertama 2022 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


P. Pinang catat pelaburan pembuatan RM6.3 bilion pada suku pertama 2022

P. Pinang catat pelaburan pembuatan RM6.3 bilion pada suku pertama 2022

28 Jun 2022

Pulau Pinang mencatatkan pelaburan pembuatan yang diluluskan berjumlah RM6.3 bilion pada suku pertama 2022, membuka jalan untuk menjadi antara penyumbang utama negara daripada segi jumlah aliran masuk pelaburan tahun ini, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

“Prestasi Pulau Pinang yang memberangsangkan itu adalah bukti ekosistem perindustrian kami yang berdaya tahan, meletakkan kami di barisan hadapan dalam perindustrian,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian kemudahan pembuatan Smith & Nephew di sini hari ini.

Chow berkata Pulau Pinang memperoleh rekod tertinggi sebanyak RM76.2 bilion dalam jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan pada 2021 dengan ketara melebihi prestasi tahun-tahun sebelumnya.

“Secara khususnya, pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang 98 peratus daripada jumlah aliran masuk pelaburan, menjadikan Pulau Pinang sebagai penerima FDI pembuatan tertinggi di Malaysia,” katanya.

Chow berkata Pulau Pinang daripada segi perdagangan ia berada di kedudukan teratas negara pada 2021 dengan nilai eksport tertinggi iaitu sebanyak RM354 bilion.

“Produk elektrik dan elektronik serta peranti perubatan merangkumi kira-kira 80 peratus daripada jumlah eksport Pulau Pinang tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata pembukaan kemudahan pembuatan pertama Smith & Nephew di Asia Tenggara di Pulau Pinang akan menjadikan negeri tersebut hab peranti perubatan di rantau ini.

“Dengan pendapatan global sebanyak AS$5.2 bilion (RM22.8 bilion) pada 2021, Smith & Nephew adalah antara 30 syarikat peranti perubatan terbesar di dunia,” katanya.

Syarikat tersebut adalah syarikat teknologi perubatan global terkemuka yang mempunyai kepakaran dalam ortopedik, perubatan sukan, telinga, hidung dan tekak serta subsegmen pengurusan berkaitan luka, katanya.

Beliau berkata pelaburan Smith & Nephew dijangka mewujudkan 800 pekerjaan bernilai tinggi pada tahun-tahun akan datang.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon