Pahang tarik pelaburan asing RM500 juta, bangunkan industri karavan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pahang tarik pelaburan asing RM500 juta, bangunkan industri karavan

Pahang tarik pelaburan asing RM500 juta, bangunkan industri karavan

16 Mei 2022

Kerajaan Pahang menarik pelaburan asing bernilai RM500 juta melalui memorandum persefahaman (MoU) dengan Caravaning Industry Association (CIVD) yang berpangkalan di Jerman bagi membangunkan industri pembuatan karavan di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, MoU yang dimeterai ini merangkumi pelaksanaan pembinaan taman karavan, pusat pemasangan karavan, eko-sistem pembuatan karavan dan pusat bekalan karavan untuk pasaran Asia Pasifik serta Australia.

Menurutnya, pihaknya akan memberikan komitmen sepenuhnya bagi membangunkan industri karavan dan projek itu akan dilaksanakan bermula penghujung tahun ini.

“Taman karavan ini akan beroperasi di lokasi strategik dan pihak kita sedang mengenal pasti kawasan sesuai.

“Kita yakin Pahang boleh dijadikan hub pengeluaran karavan terkemuka di rantau ini kerana negeri ini sememangnya terkenal dengan industri pemasangan kereta jenama terkemuka dunia seperti Mercedes, Volkwagen, dan Isuzu di Taman Perindustrian Automotif, Pekan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Ahad.

Beliau berkata, kerjasama strategik ini turut mendapat sokongan dan penglibatan daripada pihak East Coast Economic Region (ECER).

Sehubungan itu, Wan Rosdy menjelaskan pembukaan industri karavan ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang menarik dan kompetitif untuk warga tempatan.

“Saya amat berharap agar MoU ini dapat direalisasikan bukan sahaja bagi membangunkan industri baharu di Pahang tetapi juga menyumbang kepada hasrat kita untuk meningkatkan pelaburan asing ke negeri ini,” katanya.

Sumber: Astro Awani

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon