Pasaran dron Malaysia bakal cecah RM12 bilion
13 Feb 2023
Pasaran dron Malaysia dijangka mencecah nilai berjumlah sehingga RM12.13 bilion atau 4.3 peratus daripada keseluruhan bahagian pasaran global tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata berdasarkan kajian pasaran pada 2021, industri dron global dijangka menjana nilai pasaran sejumlah AS$41.3 bilion (RM180 bilion).
Katanya, Malaysia berazam untuk terbabit secara aktif dalam industri yang sedang berkembang pesat ketika ini.
“Kerajaan komited dalam membangunkan industri berteknologi tinggi seperti dron supaya lebih ramai golongan muda dapat memanfaatkan teknologi baharu yang memberi impak tinggi terhadap ekonomi negara.
“Perkara membabitkan penyelidikan dan pembangunan(R&D) teknologi baharu adalah salah satu komponen tumpuan kerajaan hari ini, dan perkara itu akan diberi perhatian dalam pembentangan Belanjawan 2023 akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Majlis Pelancaran Makmal Pengajaran-Industri: Dronecubator-MakerxLab di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Datuk Dr Wan Kamal Mujani.
Program dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MoF) akan dikendalikan oleh Persekutuan Sukan Udara Malaysia (Eng:Malaysian Sport Aviation Federation) (MSAF) serta Futurise, anak syarikat milik penuh Cyberview Sdn Bhd di bawah MoF.
Program Dronecubator yang dibangunkan UKM turut bekerjasama dengan Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (Aksadron) bertujuan melatih bakat baharu dan memberi pendedahan tentang teknologi sukan dron dengan memberi fokus terhadap penggunaan teknologi terkini.
Sementara itu, Dr Wan Kamal berkata, UKM sentiasa menyambut baik saranan kementerian untuk mengkomersilkan penyelidikan bermutu dan secara tidak langsung menjana pendapatan bagi kemudahan mahasiswa dan masyarakat.
“Ini adalah bertepatan dengan agenda utama UKM yang sekian lama menjadikan inovasi penyelidikan sebagai salah satu sumber penjanaan di universiti.
“Dengan adanya inkubator sukan dron ini, ia akan mengubah ekosistem pembelajaran dengan pengintegrasian bakat dan penerokaan teknologi yang memfokuskan pada sukan dan teknologi dron yang menggunakan pendekatan STEM dan sukan,” katanya.
Sumber: Berita Harian