PCG bakal pengeluar tunggal melamina Asia Tenggara
23 Ogo 2022
Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) menyasarkan pengeluaran sehingga 60,000 tan metrik melamina setahun apabila loji bahan itu di Kompleks Petronas Chemicals Fertiliser Kedah Sdn. Bhd. (PCFK) di Gurun memulakan operasinya pada 2024.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, loji melamina adalah projek penting pihaknya kerana ia juga akan menjadikan PCG sebagai pengeluar tunggal melamina di Asia Tenggara.
Ia juga akan mengukuhkan lagi kepelbagaian portfolio produk PCG dengan menambah nilai kepada produk sedia ada seperti urea, metanol dan poliolefin.
“Sebagai pengeluar tunggal melamina di rantau ini, kami boleh memenuhi permintaan pasaran tempatan dan Asia Tenggara yang kini merupakan pengimport bersih melamina terutama dari China memandangkan tidak ada pengeluar lain di rantau ini.
“Loji ini akan menggunakan urea yang dihasilkan oleh PCFK sebagai bahan mentah yang membolehkan kami menawarkan produk berkualiti tinggi pada harga yang lebih kompetitif kerana integrasi Kompleks PCFK yang sedia ada membolehkan pelaburan minimum dari segi utiliti dan kos lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Projek Loji Melamina yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di Zon Industri, PCFK di Gurun di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan, Bahagian Pengurusan Tanah Kuala Muda, Mohamad Shahuri Mohamad Norlin; Ketua Pegawai Pembuatan PCG, Mohd. Kabir Noordin dan Ketua Pegawai Eksekutif PCFK, Ts. Noor Arifin Othman.
Untuk rekod, PCG merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di negara ini dan antara yang terbesar di Asia Tenggara.
Mohd. Yusri berkata, loji melamina di Kompleks PCFK itu dibina menggunakan teknologi Switzerland yang terbukti mampu beroperasi dengan kecekapan penggunaan tenaga yang tinggi dan berdaya saing dalam pasaran.
Tambah beliau, melamina banyak digunakan dalam aplikasi lamina dan pelekat kayu, sebatian acuan, salutan permukaan serta kertas selain turut digunakan dalam industri tekstil.
“Melamina mempunyai pelbagai ciri berguna seperti kalis api, menyerap bunyi dan memiliki sifat rintangan terhadap hakisan, kesan kotoran dan kelembapan.
“Dengan kadar pertumbuhan purata terkompaun melamina sebanyak 3.5 peratus setahun, loji ini boleh memenuhi keperluan dengan anjakan jumlah import pasaran di rantau ini dan akan kekal berdaya saing,” katanya.
Menurut Mohd. Yusri, loji melamina di Gurun itu turut menitikberatkan kepatuhan terhadap faktor kesihatan, keselamatan dan alam sekitar yang menjadi asas operasi PCG.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, pelancaran loji melamina akan melonjakkan ekonomi negeri dalam sektor industri minyak, gas dan petrokimia.
“Pada masa sama, ia mampu membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat menerusi pelbagai peluang pekerjaan yang akan ditawarkan,’’ katanya.
Sumber: Utusan