PCG muktamad ambil alih syarikat kimia Sweden
12 Okt 2022
PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG) muktamad pengambilalihan Perstorp Holding AB (Perstorp), sebuah syarikat bahan kimia khusus global terkemuka Sweden yang didorong oleh kelestarian.
Berikutan pengambilalihan ini, Perstorp kini menjadi anak syarikat milik penuh PCG.
Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof, berkata pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada strategi ‘step-out’ kumpulan itu dengan penjanaan platform baharu untuk pertumbuhan dalam industri kimia khusus.
“Ia juga melangkaui potensi pendapatan, di mana Perstorp adalah penambahan strategik yang bersesuaian dengan nilai yang serupa dan tenaga kerja berbakat yang mempunyai kepakaran dalam industri,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Mei lalu, PCG memeterai Perjanjian Pembelian Sekuriti dengan Financière Forêt S.à.r.l, sebuah syarikat di bawah PAI Partners yang menjadi firma ekuiti swasta Eropah, bagi mengambilalih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Perstorp.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perstorp, Jan Secher, berkata pengambilalihan itu menandakan permulaan baharu dan masa depan yang menarik untuk Perstorp sebagai sebahagian daripada keluarga PCG.
“Kami teruja untuk menerokai peluang yang boleh diwujudkan melalui usaha sama dengan PCG. Ini akan mempercepatkan fasa perkembangan seterusnya dan mengukuhkan lagi kami sebagai syarikat bahan kimia khusus terkemuka,” katanya.
Melangkah ke hadapan, selepas pengambilalihan, PCG berhasrat untuk terus mengekalkan dan memperkembangkan nilai Perstorp, memandangkan beberapa tahun yang mendatang akan menjadi detik penting bagi kedua-dua syarikat itu.
“Antara rancangan pembangunan utama termasuk pengembangan Perstorp di persada dunia dengan mengukuhkan kedudukannya di pasaran Asia Pasifik melalui pengetahuan industri PCG dan memanfaatkan pangkalan pelanggannya yang besar.
“Selain itu, PCG juga akan berusaha untuk memastikan penyelesaian projek pengembangan Perstorp mengikut jadual yang dirancang secara selamat di samping menjimatkan kos. Perstorp mempunyai beberapa projek yang telah diatur dalam masa terdekat, termasuk pelancaran Project Air yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon melalui pengeluaran metanol yang mampan,” demikian menurut PCG.
Baru-baru ini, Dana Inovasi Kesatuan Eropah memilih Project Air, sebagai salah satu daripada 17 projek teknologi hijau berskala besar, yang akan bersama-sama menerima 1.8 bilion euro (RM8.16 bilion).
Project Air mendorong industri kimia untuk beralih daripada penggunaan bahan mentah fosil kepada bahan suapan yang berasaskan bio dan dikitar semula, justeru menggalakkan penggunaan produk kimia mampan kepada pelbagai industri dan produk akhir.
Pada kapasiti penuh, ia mampu mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) secara global dengan hampir 500,000 tan setahun berbanding paras pada hari ini, bersamaan dengan satu peratus daripada pelepasan semasa di Sweden.
“Kami bersedia untuk mara lebih jauh dalam agenda kelestarian. Inisiatif Finite Material Neutral Perstorp akan menjadi pemangkin kepada projek-projek PCG ke arah aspirasi pelepasan karbon sifar bersih kami menjelang 2050,” tambah Mohd Yusri.
Sumber: Berita Harian