PDB, EPMB jalin kerjasama perkenal stesen tukar bateri EV - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


PDB, EPMB jalin kerjasama perkenal stesen tukar bateri EV

PDB, EPMB jalin kerjasama perkenal stesen tukar bateri EV

09 Nov 2022

Petronas Dagangan Bhd (PDB) memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara tiga pihak dengan peserta industri utama iaitu, Gentari Green Mobility Sdn Bhd, EP Blueshark Sdn Bhd, Blueshark Holding Limited dan Handal Indah Sdn Bhd dalam usaha untuk mempercepatkan penggunaan mobiliti elektrik.

PDB dalam satu kenyataan, berkata perkongsian strategik itu dijangka mengukuhkan lagi peranan pentingnya dalam keseluruhan rantaian nilai mobiliti elektrik bersepadu dengan melancarkan stesen penukaran bateri untuk kenderaan dua roda elektrik dan infrastruktur pengecasan untuk bas elektrik di stesen Petronas.

“Menerusi pelaburan ini, PDB berhasrat untuk menyokong usaha penyahkarbonan pelanggannya dan memenuhi keperluan mobiliti elektrik mereka, memanfaatkan keupayaannya dan rangkaian stesen yang luas,” katanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani, berkata, syarikat itu akan terus mempelbagaikan perniagaan bukan bahan api dan mempergiatkan usaha untuk menyokong mobiliti elektrik memandangkan ia dijangka dapat merealisasikan potensi pertumbuhan pasaran kenderaan elektrik (EV).

“Ini diperkukuhkan lagi melalui kerjasama antara PDB dan Gentari, bersama EP Blueshark, Blueshark Holding Limited dan Handal Indah untuk mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif untuk pengguna EV,” katanya.

MoU pertama adalah mengenai kerjasama dalam perniagaan penukaran bateri dua roda elektrik telah ditandatangani oleh Azrul; Pengerusi Eksekutif EP Blueshark, Hamidon Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Blueshark Holding Limited, Jeff Chong Chen Wai.

MoU itu akan menyaksikan semua pihak bekerjasama dalam pembangunan perniagaan, bermula dengan pemasangan Stesen Tukar Bateri di sembilan stesen PETRONAS dalam pelaksanaan perintis dua peringkat.

Pihak berkenaan kemudiannya akan meneroka kerjasama selanjutnya di sepanjang rantaian nilai kenderaan dua roda elektrik.

Pengerusi Eksekutif EP Manufacturing Bhd (EPMB), Hamidon berkata, pendekatan berasaskan sistem untuk dilaksanakan bersama rakan kongsi utama dapat meneroka rantaian nilai berpotensi tinggi di masa hadapan.

“Ini membolehkan kami meletakkan diri dan rakan kongsi untuk mendapat manfaat daripada teknologi EV yang berkembang. Kami sangat gembira dan berbesar hati untuk bersama PDB dalam perjalanan ini,” katanya.

MoU kedua adalah membabitkan kerjasama dalam infrastruktur pengecasan bas elektrik komersial ditandatangani oleh Azrul; Ketua Pegawai Mobiliti Hijau Gentari, Shah Yang Razalli; dan Pengarah Eksekutif Handal Indah, Lim Chern Chuen.

Melalui MoU itu, tiga stesen Petronas di Johor akan dipasang dengan pengecas DC pantas EV untuk memberi peluang pengecasan untuk bas elektrik Handal Indah yang beroperasi di laluan itu.

Projek perintis itu akan menyediakan PDB dengan pengalaman yang lebih mendalam, sebelum merangka penyelesaian terperinci kepada perniagaan yang berdaya maju untuk PDB.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon