Pelabuhan Darat Perlis pacu dagangan rentas sempadan, pemulihan sosioekonomi - NCER - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelabuhan Darat Perlis pacu dagangan rentas sempadan, pemulihan sosioekonomi – NCER

Pelabuhan Darat Perlis pacu dagangan rentas sempadan, pemulihan sosioekonomi – NCER

27 Jan 2022

Pembangunan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) berserta kedudukan geografi negeri itu yang berhampiran dengan sempadan, dijangka dapat memacu peningkatan perdagangan rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand, kata Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Dalam kenyataan hari ini, NCER berkata pembangunan pelabuhan itu oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) juga secara langsung dapat menjadi pemangkin peralihan Perlis daripada sebuah negeri berasaskan pertanian kepada ekonomi sempadan selain melonjakkan pemulihan sosioekonomi di negeri itu.

PIP adalah projek kerjasama awam-swasta yang bakal menjadi hab logistik utama pembangunan bersepadu Lembah Chuping serta kargo dari selatan Thailand, sekali gus mengukuhkan lagi Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Zon Ekonomi AgriBio NCER (NAEZ) dan projek-projek Lembah Agro Chuping (CAV).

“NCIA akan membangunkan infrastruktur luaran (jalan raya berkaitan, laluan kereta api dan jejambat) manakala pembangunan pelabuhan itu akan dijalankan oleh pelabur swasta.

“Pihak pelabur swasta itu merancang untuk membangunkan PIP dalam tiga fasa dengan fasa pertamanya merangkumi taman rel (termasuk tiga landasan dan ruang terbuka) dan taman logistik (termasuk gudang, penyimpanan, kediaman khusus),” katanya.

Menurut NCER, pembinaan pelabuhan itu akan bermula pada Februari 2022 dan beroperasi penuh menjelang 2024 manakala taman logistik terbabit dijangka mengendalikan kapasiti 250,000 unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU) apabila Fasa Pertama siap.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata kerajaan negeri Perlis sememangnya bekerjasama erat dengan NCIA dalam usaha mempercepat pembangunan projek itu.

“PIP juga berada dalam kedudukan baik untuk mengukuh serta terus menjamin daya saing perdagangan sempadan di utara Malaysia dengan jangkaan pembangunan lain di rantau itu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemandu Negeri Perlis bagi 2022 di sini, hari ini.

Beliau turut menyifatkan pembangunan pelabuhan terbabit dijangka meletakkan Perlis di kedudukan tepat ke arah mencapai pertumbuhan menyeluruh yang kukuh dalam 2022.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John turut menekankan kepentingan NCER untuk mengukuhkan infrastruktur logistik bandar sempadan selain menjadi pelengkap kepada perkhidmatan yang ada.

“Pembangunan PIP dan usaha menambah baik Pelabuhan Pulau Pinang perlu dijalankan sepertimana dirancang bagi memanfaatkan faedah sebagai penggerak pertama,” katanya.

Menurut kenyataan itu, CVIA yang berada dalam lokasi strategik berhampiran sempadan Thailand, akan turut memanfaatkan kerjasama serantau Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) selain merancakkan pembangunan kawasan berkenaan dengan pelbagai aktiviti komersial berasaskan inovasi serta pelaburan berintensifkan pengetahuan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.

“Setakat ini, pembangunan ekosistem industri dan integrasi telah dijalankan di CVIA dengan pelaburan komited lebih RM2.5 bilion diraih serta mewujudkan sebanyak 1,870 pekerjaan.

“Selain itu, pelaburan bernilai RM449 juta dan 850 pekerjaan juga dalam perancangan daripada pelabur utama domestik dan asing yang berteraskan inovasi dan berintensifkan pengetahuan,” kata NCER.

Pembinaan melibatkan pembangunan Fasa Pertama CVIA juga berjalan lancar dengan sasaran bahagian terbabit siap 100 peratus menjelang Oktober 2022, katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon