Pelabur strategik labur sekurang-kurangnya RM5 bilion nikmati pemudahcaraan imigresen - MITI - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelabur strategik labur sekurang-kurangnya RM5 bilion nikmati pemudahcaraan imigresen – MITI

Pelabur strategik labur sekurang-kurangnya RM5 bilion nikmati pemudahcaraan imigresen – MITI

25 Jul 2023

Malaysia akan memberikan pemudahcaraan imigresen kepada pelabur strategik yang membuat pelaburan berkualiti dengan nilai sekurang-kurangnya RM5 bilion di Malaysia, demikian diumumkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Ini terutamanya untuk pelaburan dalam sektor pembuatan yang disasarkan yang digalakkan oleh kerajaan melalui Dasar Pelaburan Baharu (NIP) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang akan datang, katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pelabur strategik dikenal pasti sebagai mana-mana individu strategik untuk pelaburan, merangkumi pemilik syarikat, pengurusan peringkat atasan dan pembuat keputusan utama.

Pelabur strategik boleh diberikan Residence Pass Talent (RP-T) yang disesuaikan secara khusus tanpa perlu memperoleh pas pekerjaan sedia ada atau mempunyai kehadiran bekerja di Malaysia sebelum ini.

Menurut MITI, pas ini, yang diproses oleh Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp), akan memudahkan kemasukan dan penginapan pelabur yang layak, serta pasangan dan tanggungan mereka sehingga tempoh 10 tahun di Malaysia.

Katanya calon laluan pantas RP-T dikenal pasti dan dicadangkan oleh agensi tertentu berdasarkan nilai pelaburan mereka dan/atau potensi untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Laluan Pantas RP-T.

MITI turut mengumumkan butiran pemudahcaraan imigresen untuk pekerja nomad, yang ditakrifkan sebagai pekerja bebas digital, kontraktor bebas dan pekerja jarak jauh dalam sektor pembuatan yang disasarkan di bawah NIP dan NIMP 2030.

“Pas Nomad Digital untuk sektor pembuatan akan membolehkan tenaga kerja asing yang mahir dari segi digital atau teknikal untuk tinggal di Malaysia bersama pasangan dan tanggungan mereka sehingga tempoh dua tahun, memanfaatkan Pas Nomad Digital DE Rantau yang diperkenalkan pada Oktober 2022 oleh Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC),” katanya.

Penyampaian pas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada beberapa pelabur dan pekerja nomad telah diadakan di Jabatan Perdana Menteri semalam.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata RP-T dan Pas Nomad Digital DE Rantau adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan untuk menambah baik dan mengukuhkan landskap dan ekosistem pelaburan negara.

“Langkah segera ini penting untuk Malaysia memanfaatkan pembentukan semula semasa syarikat multinasional bagi rantaian bekalan global mereka berikutan mereka beralih daripada kecekapan kos kepada keselamatan rantaian bekalan sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian risiko global mereka,” katanya.

Tengku Zafrul berkata pemudahcaraan imigresen untuk sektor pembuatan akan membantu menarik pelaburan bernilai tinggi yang berkualiti dan profesional berkemahiran tinggi serta meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan dan memacu keusahawanan digital.

Pemudahcaraan imigresen tersebut diselaraskan secara bersama oleh MITI dengan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Komunikasi dan Digital, Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, TalentCorp dan MDEC.

Pemudahcaraan imigresen untuk pelabur strategik dan pekerja nomad dalam sektor pembuatan telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 14 Julai 2023, untuk menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan dan memudahkan pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik di Malaysia.

Untuk rekod, Malaysia menarik RM71.4 bilion untuk pelaburan yang diluluskan pada suku pertama 2023 dengan sektor perkhidmatan mendahului sektor lain dengan nilai sebanyak RM53.6 bilion, menyumbang 75.1 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

Subsektor maklumat dan komunikasi menduduki tempat kedua dengan pelaburan yang diluluskan bernilai RM24.9 bilion, mewakili 46.5 peratus. Sektor pembuatan Malaysia menarik RM15.6 bilion atau 21.8 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon