Pelaburan berimpak tinggi pacu limpahan ekonomi - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan berimpak tinggi pacu limpahan ekonomi

Pelaburan berimpak tinggi pacu limpahan ekonomi

08 Mac 2023

Malaysia terus menarik pelaburan berimpak tinggi yang akan membawa kesan limpahan kepada ekonomi bagi tempoh jangka sederhana dan panjang, kata presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Maybank Datuk Khairussaleh Ramli.

Beliau berkata dengan Malaysia Madani, negara berada di landasan pertumbuhan mampan berteraskan enam nilai teras Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, keyakinan, nilai hormat dan ihsan, yang menekankan kepada ’ekonomi kemanusiaan’ dengan menggabungkan komponen sosial dan pembangunan ekonomi.

“Belanjawan 2023 merupakan langkah pertama dalam meletakkan rangka kerja pembangunan Malaysia Madani di bawah kerajaan perpaduan.

Pendekatan holistik ditetapkan, seperti yang dilihat dalam langkah-langkah yang dibentangkan dalam Belanjawan 2023, dan kami mengalu-alukan sokongan yang diberikan kepada perniagaan untuk mengembangkan ekuiti di samping memastikan jaringan keselamatan sosial yang mencukupi bagi menjamin masa depan mereka yang memerlukan, terutamanya kumpulan rentan.

“Lebih khusus lagi, kami berhasrat untuk memacu pelaburan kukuh dan memperuntuk sumber mencukupi ke bidang pertumbuhan tinggi untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” katanya dalam ucapan pembukaan beliau pada acara Invest Malaysia 2023, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, pelaburan peralihan dan pembiayaan adalah sama penting untuk diambil perhatian oleh perniagaan Malaysia.

“Kami percaya Invest Malaysia menyediakan peluang besar kepada pelabur untuk memahami dengan lebih baik lagi strategi fiskal dan ekonomi jangka sederhana Malaysia dalam mengekalkan pembangunan, meningkatkan daya saing dan mengukuhkan trajektori pertumbuhannya.

“Ini memandangkan pembukaan semula ekonomi pasca pandemik yang menyediakan peluang baharu bagi Malaysia di tengah-tengah jangkaan pertumbuhan perlahan ekonomi global tahun ini,” katanya.

Khairussaleh juga berkata usaha pendigitalan dan mendayakan ekonomi digital merupakan satu lagi penggerak utama bagi negara, kerana ia melangkaui kecekapan operasi bagi perniagaan dan pengguna individu, dan merupakan pembawa perubahan, bukan hanya bagi inovasi tetapi juga keterangkuman.

Menurutnya, usaha itu juga akan meningkatkan ketelusan dan keselamatan, walaupun ia juga memberikan penekanan utama kepada keselamatan siber bagi memastikan urus niaga digital boleh dijalankan secara selamat dan boleh dipercayai.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya pada Invest Malaysia 2023, pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata dalam keadaan inflasi global dan konflik geopolitik yang berterusan serta dasar monetari yang ketat, pertumbuhan global pulih kembali selepas kemuncak pandemik, walaupun ia menyusut kepada 2.9 peratus tahun lepas dan dijangka hanya mencapai pertumbuhan 1.7 peratus tahun ini.

“Bagaimanapun, ekonomi global dan Malaysia masih sedang berkembang walaupun pada kadar yang perlahan. Keadaan ini telah mencetuskan pelbagai kelemahan seperti gangguan rantaian bekalan pembuatan, kekurangan makanan yang disebabkan keadaan cuaca ekstrem dan kesesakan dalam sektor perkapalan, antara isu-isu yang masih belum diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Meskipun cabaran ini, Abdul Wahid berkata keadaan itu juga menyediakan ruang bagi kekuatan baharu, seperti meningkatnya usaha untuk membangun dan mengguna pakai teknologi serta penyelesaian berdasarkan data.

Selain itu, katanya, terdapat juga komitmen dalam penerajuan global dan di peringkat lembaga pengarah untuk memacu perubahan transformasi seperti Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, penerimagunaan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan usaha mengurangkan pelepasan karbon pada masa depan.

“Malahan di Bursa Malaysia, kami komited kepada transformasi dengan lima Buku Panduan Transformasi PLC yang dikeluarkan tahun lepas,” katanya, sambil menambah Belanjawan 2023 mencerminkan keberanian untuk menangani masalah yang dihadapi negara dan memulakan usaha ke arah kemajuan.

“Walaupun pengembangan, Belanjawan 2023 mencerminkan tanggungjawab dan kemampanan fiskal dengan menetapkan sasaran berani bagi pengurangan defisit, daripada 5.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2022 kepada 5.0 peratus daripada KDNK pada 2023, dan seterusnya kepada 3.2 peratus pada 2024,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon