Pelaburan dalam produk sawit perlu ditingkatkan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan dalam produk sawit perlu ditingkatkan

Pelaburan dalam produk sawit perlu ditingkatkan

05 Jan 2021

Malaysia perlu meningkatkan pelaburan dalam aktiviti pemprosesan hiliran dan beralih untuk menghasilkan lebih banyak produk minyak sawit yang mempunyai nilai tambah.

Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Ravi Muthayah, berkata industri minyak kelapa sawit harus bergerak ke arah nilai tambah yang tinggi dan tidak menghindari risiko dalam keputusan perniagaan memandangkan peniaga tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada minyak sawit sebagai komoditi.

“Ini kerana minyak sawit sering mengalami ketidakstabilan dan ketidaktentuan harga,” katanya pada Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia 2021 (POTS Digital 2021) hari ini.

Memandangkan syarat-syarat pasaran global yang lebih ketat, beliau berkata penting untuk menempatkan minyak sawit secara strategik di pasaran baharu, terutamanya di pasaran yang belum dimanfaatkan dan juga beberapa pasaran yang belum mengenali minyak sawit sebagai minyak yang boleh dimakan.

“Bagi mempromosikan lagi produk kita sebagai minyak yang lestari dan selamat untuk dimakan, kita mungkin boleh meneroka pasaran bukan tradisi di Timur Tengah, Afrika Utara dan Eropah Timur yang sebahagian besarnya masih belum dimanfaatkan,” katanya.

Bagaimanapun, Ravi berkata minyak sawit akan terus berdepan cabaran selagi terdapat minyak sayuran boleh dimakan lain yang menjadi pesaing.

Sehubungan itu, beliau berharap penggiat industri akan terus terlibat dalam usaha mengurangkan salah faham dan memberikan maklumat yang tepat mengenai minyak sawit, dari segi fleksibiliti, aspek kesihatan, sumbangannya kepada ekonomi dan hak pekerja.

“Hak pekerja adalah sama penting dan tidak harus diambil ringan. Ia penting bagi memastikan industri minyak sawit dipandang sebagai industri yang bertanggungjawab dan prihatin,” katanya.

Bertemakan ‘Minyak Sawit Malaysia – Bergerak Kehadapan Dalam Norma Baharu’, acara yang berlangsung secara maya selama empat hari itu yang bermula hari ini dianjurkan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Sebanyak 27 kertas kerja akan dibentangkan dalam seminar berkenaan, merangkumi topik seperti isu terkini dalam industri minyak sawit, cabaran dan kemajuan pasaran, cabaran kelestarian, aplikasi inovatif dalam industri, aspek pemakanan dan diet, serta perkembangan terkini pasaran dan unjuran harga.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon