Pelaburan dalam sektor pembuatan di Sabah meningkat hampir 90 peratus tahun lalu - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan dalam sektor pembuatan di Sabah meningkat hampir 90 peratus tahun lalu

Pelaburan dalam sektor pembuatan di Sabah meningkat hampir 90 peratus tahun lalu

22 Mei 2023

Nilai pelaburan dalam sektor pembuatan di Sabah mencatatkan peningkatan hampir 90 peratus iaitu sebanyak RM8.49 bilion bagi tahun lalu berbanding RM4.48 bilion, tahun sebelumnya.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, berkata kerajaan negeri memberi fokus utama untuk melaksanakan pelbagai program dan projek perindustrian berimpak tinggi demi pembangunan negeri ini.

“Tumpuan akan diberikan kepada usaha untuk merancakkan aktiviti hiliran bernilai tinggi agar dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Di samping itu, untuk menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi, kerajaan negeri akan menambah baik kemudahan infrastruktur serta menyediakan persekitaran yang kondusif dan mesra pelabur di taman-taman perindustrian sedia ada.

“Mengenai perkembangan positif sektor perindustrian dalam negeri, penghargaan harus diberikan kepada kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor atas usaha gigih dan inisiatif bagi menarik pelabur ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 di bangunan DUN, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Juhar dalam ucapannya turut berkata kilang-kilang bagi ‘flagship projects’ di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) akan mula beroperasi pada suku keempat tahun ini.

“Status kemajuan pembinaan kilang kerajang tembaga oleh syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) adalah pada kadar 72.3 peratus.

“Sementara status kemajuan pembinaan kilang pembuatan kaca solar di KKIP dan kilang pemprosesan pasir silika di Sikuati, Kudat oleh Syarikat SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd pula masing-masing pada kadar 27 peratus dan 35 peratus,” katanya.

Selain itu, Juhar berkata, jumlah ketibaan pelancong ke Sabah mencecah 1.73 juta orang berbanding hanya 371,187 orang pada tahun sebelumnya.

“Tahun ini, kerajaan negeri menjangkakan ketibaan seramai 2.2 juta pelancong ke Sabah yang dijangka berupaya menjana pendapatan RM4.1 bilion,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon