Pelaburan di Melaka mampu cecah RM5 bilion
01 Apr 2021
Kerajaan negeri menyasarkan nilai pelaburan tahun ini akan meningkat dua kali ganda mencecah RM5 bilion berbanding tahun lalu.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, beliau optimis nilai itu mampu dicapai oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta agensi-agensi berkaitan selepas melihat perolehan RM2 bilion pada tahun lalu.
“Walaupun berdepan dengan impak pandemik Covid-19, namun kita berjaya memperoleh nilai pelaburan sebanyak RM2 bilion dalam tempoh pandemik tahun lalu.
“Jadi, sasaran RM5 bilion adalah realistik untuk dicapai pada tahun ini. Pelaburan ini sangat penting kerana ia akan menjadi pemboleh ubah kepada jumlah peluang pekerjaan dan perniagaan untuk dikecapi rakyat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PKNM di Menara PKNM, Ayer Keroh, di sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan; Timbalan Pengerusi PKNM, Datuk Roslan Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif PKNM, Datuk Azmi Hussain dan barisan pengerusi jawatankuasa kerajaan negeri.
Pada majlis tersebut, Sulaiman turut memberitahu, PKNM telah berperanan sebagai ‘nadi’ pembangunan Melaka selama 50 tahun dan telah banyak memberi manfaat kepada rakyat.
Jelasnya, PKNM juga antara agensi yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan pembentukan koridor ekonomi baharu, Melaka Waterfront Economic Zone (M-Wez).
“Kerajaan telah menggariskan tiga perkara utama yang perlu menjadi fokus kepada pengurusan iaitu pertama PKNM perlu terus membantu menjayakan M-Wez dengan meneroka dan membuka bidang-bidang perniagaan baharu pada masa hadapan termasuk mengambil tanggungjawab sebagai pengendali aktiviti maritim dalam jajaran tiga batu nautika dari pesisir pantai Melaka.
“Kedua, seiring dengan era digital, PKNM perlu menumpukan pembukaan kawasan-kawasan baharu bagi industri berteraskan digital dan memastikan pemilikan ekuiti syarikat-syarikat yang terlibat dalam semua projek pembangunan di tanah yang dimiliki oleh perbadanan,” ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia