Pelaburan hijau, mobilisasi hasil, data raya boleh bantu pemulihan Asia Tenggara – ADB
17 Mac 2021
Negara-negara Asia Tenggara, yang sedang pulih daripada impak pandemik COVID-19 boleh mendapat manfaat daripada pelaburan dalam prasarana hijau, transformasi digital, data raya dan mobilisasi hasil menerusi pembaharuan cukai, kata Bank Pembangunan Asia (ADB).
“Ketika negara-negara perlahan-lahan mula bangkit semula daripada impak buruk kesihatan dan ekonomi akibat daripada pandemik itu, kita kini berada pada waktu yang kritikal.
“Pandemik COVID-19 menyediakan peluang unik untuk membina semula bagi pemulihan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan,” kata Presidennya Masatsugu Asakawa dalam ucap tama beliau pada Simposium Pembangunan Asia Tenggara bertemakan “Innovation through Collaboration: Planning for Inclusive Post-COVID-19 Recovery” di Manila hari ini yang diadakan secara penstriman langsung.
Asakawa berkata pandemik itu memberikan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini; justeru, perlu untuk mengorak langkah di laluan baharu bersama-sama, iaitu dengan memanfaatkan idea dan teknologi baharu dan menggunakan platform sedia ada bagi inovasi dan perkongsian.
Menurutnya, ekonomi membangun di Asia Tenggara boleh mendapat manfaat daripada tiga bidang dasar baharu.
Ia termasuk melabur dalam pembangunan lestari alam sekitar dalam lima sektor iaitu pertanian, laut, bandar dan pengangkutan, pengurusan sisa buangan dan tenaga bersih yang boleh mewujudkan 30 juta peluang pekerja di rantau ini menjelang 2030.
“Keduanya, mereka perlu mengembangkan asas cukai dengan memaksimumkan pematuhan cukai dan mempermudahkan proses pematuhan yang akan dapat meningkatkan hasil kerajaan dan meletakkan mereka di kedudukan lebih baik bagi membiayai pemulihan pandemik.
“Ketiga menggunakan data raya dengan lebih baik lagi, yang mana negara-negara boleh memanfaatkan transformasi digital rantau ini bagi meningkatkan penjagaan kesihatan, perlindungan sosial dan pendidikan,” katanya.
Asakawa berkata peluang pertumbuhan hijau ini akan memerlukan pembiayaan dan satu cara ADB bekerjasama dengan negara-negara di rantau ini untuk menangani keperluan pembiayaan ini adalah menerusi ASEAN Catalytic Green Finance Facility, yang dimiliki menteri-menteri kewangan di 10 negara anggota ASEAN dan ADB.
Negara-negara Asia Tenggara boleh menggunakan kemudahan ini untuk mengakses kewangan dan pengetahuan bagi projek prasarana hijau untukpengangkutan lestari, tenaga bersih dan sistem air yang kukuh, katanya.
Bagi memanfaatkan data raya, beliau berkata, transformasi digital Asia Tenggara sedang dilaksanakan.
Oleh itu, negara-negara boleh menggunakan peluang ini untuk mentransformasikan sektor utama kerajaan bagi menyediakan penyampaian perkhidmatan yang lebih efektif, katanya.
Sumber: Bernama