Pelaburan RM25 bilion Infineon di Kedah bukti dasar Kerajaan Madani
03 Ogo 2023
Komitmen penyedia penyelesaian semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies AG untuk meningkatkan pelaburan bagi kemudahannya di Kulim, Kedah sebanyak RM25 bilion (lima bilion) euro adalah bukti kukuh kepercayaan firma global terhadap dasar pelaburan Kerajaan Madani.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ia juga mencerminkan inisiatif kejayaan MITI dan agensi di bawahnya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di negara ini.
“Infineon, peneraju utama global telah mengambil langkah selanjutnya untuk membentuk industri dengan mengembangkan kemudahan di Kulim.
“Ia juga melebihi pelaburan asal diumumkan pada Februari 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul berkata, syarikat itu juga mendedahkan rancangannya untuk membina kemudahan yang terbesar di dunia bagi 200mm SiC (silikon karbida) Power Fab.
Beliau berkata, kemudahan baru terbesar dunia itu akan dibangunkan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengembangan Infineon bagi kemudahan silikon karbida bertaraf dunia mereka di Kulim katanya mewakili peristiwa penting dalam perjalanan Malaysia ke arah kemampuan membangunkan pembuatan termaju.
Ia katanya bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai pendahulu dalam memacu teknologi hijau, satu aspek penting dalam mencapai matlamat pembangunan mampan global.
“Kami menghargai kepercayaan, keyakinan dan pengiktirafan dalam prospek pertumbuhan Malaysia oleh Infineon.
“Teknologi semikonduktor kuasa termaju yang dihasilkan dalam SiC Power Fab Infineon merupakan satu perkembangan penting ke arah memartabatkan kedudukan negara dalam industri semikonduktor, di samping memupuk perkongsian tertumpu pada mewujudkan masa depan yang lebih mampan,” katanya.
Industri elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang hampir tujuh peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Pada suku pertama 2023, industri mencatatkan nilai RM2.06 bilion pelaburan yang diluluskan, yang dimulakan daripada 16 projek yang akan menjana 1,729 peluang pekerjaan bergaji lebih tinggi.
Eksport E&E bagi tempoh yang sama ialah RM142 bilion, 3.3 peratus lebih tinggi tahun ke tahun.
Sumber: Berita Harian