Pelaburan untuk transformasikan negara perlu disokong dengan tenaga mahir - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan untuk transformasikan negara perlu disokong dengan tenaga mahir

Pelaburan untuk transformasikan negara perlu disokong dengan tenaga mahir

14 Sep 2021

Ketika Malaysia bergerak ke arah negara berpendapatan tinggi dengan penggunaan teknologi tinggi dan Revolusi Perindustrian 4.0, pelaburan perlu disokong oleh dasar yang menyokong tenaga kerja, terutamanya pekerja berkemahiran tinggi, kata Ahli Ekonomi.

Penganalisis ekonomi bebas Prof Emeritus Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, prestasi pelaburan langsung asing (FDI) dalam separuh pertama 2021 adalah memberangsangkan dan mencerminkan kitaran pelaburan ekonomi di negara ini telah kembali.

Menurut data daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pada 2020, jumlah pelaburan diluluskan turun 22.4 peratus kepada RM164.0 bilion daripada RM211.4 bilion pada 2019, terkesan akibat daripada impak penurunan permintaan global disebabkan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 2018 dan 2017, masing-masing berjumlah RM201.7 bilion dan RM200.6 bilion.

Bagaimanapun, Zakariah berkata meskipun ia memberi prospek yang baik bagi pemulihan ekonomi Malaysia yang mampan, lebih banyak yang perlu dilakukan untuk negara mencapai matlamatnya menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.

Berdasarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebanyak 367 projek pembuatan bernilai RM66.9 bilion diluluskan semasa separuh pertama 2021 dan projek itu dijangka mewujudkan 32,220 peluang pekerjaan dalam pelbagai jawatan dan peranan, yang membawa kepada pekerjaan berkemahiran dan bernilai tinggi.

Zakariah berpandangan walaupun kenyataan itu menyebut bahawa ia akan mewujudkan 1,367 jawatan pengurusan, 4,031 profesional teknikal dan 4,144 pekerja mahir, tidak ada petunjuk mengenai baki 22,678 jawatan daripada 32,220 peluang pekerjaan itu.

“Ini mewakili 70.38 peratus (22,678 jawatan) yang sama ada bermakna jawatan berkemahiran rendah atau tidak mahir.

“Dengan hanya nisbah 30 peratus berada dalam jawatan berkemahiran tinggi, ia akan menjadi cabaran berterusan untuk mentransformasikan ekonomi kita yang seterusnya menghalang negara daripada mencapai sasaran status negara berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan, pada 2019, bahagian pekerjaan berkemahiran tinggi Malaysia (mereka yang bekerja dalam jawatan pengurusan, profesional atau teknikal) berada pada 27.5 peratus, manakala bahagian pekerja separa mahir berada pada 60.1 peratus dan bahagian pekerjaaan berkemahiran rendah berada pada 12.4 peratus.

Zakariah berkata untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, Malaysia harus berusaha mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Bagaimanapun, tahap tenaga kerja berkemahiran tinggi di bawah 30 peratus di Malaysia terus kekal tidak berubah selama kira-kira 15 tahun dan ia perlu dipertingkatkan, kata beliau.

“Apabila kita bercita-cita menjadi sebuah negara maju, kita merangka rancangan pembangunan seperti Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Kita juga mahu menjadi ahli Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), yang mempunyai nisbah tenaga kerja berkemahiran tinggi jauh lebih tinggi daripada kita, oleh itu, kita harus menanda aras OECD dan menjadikannya sebagai nisbah sasaran kita dalam rancangan masa depan, ” kata Zakariah.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Ekonomi Kenanga Investment Bank Wan Suhaimie Saidie berkata lonjakan FDI di Malaysia pada separuh pertama  2021 memberi harapan yang cerah tetapi masih terlalu awal untuk menilainya kerana kebanyakan kelulusan ini masih belum komited sepenuhnya.

Ketika kelembapan ekonomi, beliau berkata, kadar pelaksanaan mungkin terjejas kerana ia boleh mempengaruhi komitmen modal sebenar serta pelabur mungkin boleh berubah fikiran mereka berdasarkan kepada faktor risiko perniagaan dan politik.

“Kebanyakan permohonan pelaburan mungkin telah diterima sebelum pandemik dan situasi politik mungkin berbeza ketika itu,” kata Wan Suhaimie.

Kualiti pelaburan juga adalah faktor lain yang perlu diambil kira serta apakah sektor penting yang akan menambah nilai jangka panjang kepada ekonomi.

“Apa yang paling penting ia seharusnya menjana pekerjaan berkualiti tinggi berbanding pekerjaan sektor pembuatan dengan gaji rendah yang biasanya diambil oleh pekerja asing berkemahiran rendah,” katanya.

Bagi separuh pertama 2021, Malaysia merekodkan jumlah keseluruhan pelaburan diluluskan sebanyak RM107.5 bilion merangkumi FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama yang mencatatkan lonjakan 69.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon