Pelaksanaan rangkaian 5G di Sarawak mulai tahun hadapan
27 Nov 2021
Kerajaan telah memutuskan Sarawak sebagai antara negeri terawal diberi keutamaan dalam perancangan pelaksanaan rangkaian 5G yang dijangka bermula tahun hadapan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Sehubungan itu, katanya, Sarawak telah menjadi keutmaan tinggi dalam Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
Jelas beliau, langkah ini diambil kerana melihat kedudukan Sarawak yang strategik dari sudut geopolitik dan kesalinghubungan (connectivity).
“Dalam keadaan geopolitik yang baru, kita lihat bagaimana kedudukan Kepulauan Borneo keseluruhannya menjadi satu kawasan strategik.
“Indonesia juga memindahkan ibu negara mereka ke Borneo dan Kerajaan juga berhasrat untuk menjadikan Sarawak dan Sabah sebagai negeri yang diberikan keutamaan tinggi di dalam perancangan ini.
“Dalam konteks hubungan internet, kedudukan Sarawak sekali lagi menjadi yang paling strategik, ini tertmasuk akan datang dalam pembangunan kabel dasar laut.
“Satu daripada kabel yang sedang dirancang masa akan datang adalah melalui kawasan Sarawak dan Sarawak dikenal pasti sebagai satu daripada titik pendaratan kerana kedudukannya yang strategik” katanya pada sidang media setelah menghadiri Jelajah Komunikasi Strategik di Tanjung Manis, hari ini.
Di samping itu, katanya, Sarawak juga mempunyai penjanaan bekalan elektrik mesra alam yang sangat diperlukan terutama sekali dberkaitan dengan pusat data untuk kegiatan-kegiatan ‘clouds computing’ dan sebagainya.
Oleh itu, dalam perancangan pelaksanaan 5G, Kerajaan telah memutuskan Sarawak antara negeri yang paling awal akan menerima pelaksanaan ini mulai pada tahun hadapan untuk fasa 30 peratus pertama kawasan berpenduduk dengan 5G.
“Ini bermakna kita perlu membuat persiapan untuk melengkapkan 4G, walaupun kita utamakan 5G, tetapi asasnya adalah juga kepada prasarana 4G.
“Jadi, di sinilah program JENDELA yang sedang kita laksanakan pada Fasa 1 dan 2 yang akan dilaksanakan tidak lama lagi. Fasa 1 dan 2, kedua-duanya fokus utama adalah untuk negeri Sarawak.
“Lebih dari RM3 bilion untuk Sarawak sahaja. Ini adalah satu agenda besar, kerana Sarawak negeri yang unik dan besar, kemudian taburan penduduknya meluas,” katanya.
Sehubungan itu, menerusi semua dasar dan perancangan tersebut, semua kawasan penempatan penduduk dalam Sarawak haruslah tersambung dengan rangkaian jalur lebar, katanya lagi.
“Jadi kalau dapat kita bekalkan talian tetap atau rangkaian optik gentian. Bagi (kawasan) yang tidak ada rangkaian optik gentian, kita guna satelit, teknologi satelit terkini juga akan dibawa ke Sarawak.
“‘Fiberisation’ di bawah titik kehadiran atau PoP yang sedang kita jalankan fasa satu dan fasa dua, tak berapa lama lagi juga tumpuannya Sarawak,” katanya.
Oleh kerana penyediaan prasarana dengan pelaburan yang besar ini, tegasnya, adalah penting mendapat penyertaan daripada rakyat di kawasan terlibat.
Sumber: Utusan Borneo