Pelonggaran sekatan buka lembaran baru pemulihan ekonomi - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelonggaran sekatan buka lembaran baru pemulihan ekonomi

Pelonggaran sekatan buka lembaran baru pemulihan ekonomi

11 Okt 2021

Kelonggaran langkah membendung penularan pandemik susulan kadar vaksinasi yang tinggi membuka lembaran baharu proses pemulihan ekonomi Malaysia pasca COVID-19 dengan unjuran pertumbuhan lebih mantap menuju ke hadapan, demikian kata penganalisis.

Sebahagian besar penganalisis berpandangan, kebenaran merentas negeri, kadar vaksinasi yang tinggi dan pengurangan kes COVID-19 akan merangsang perbelanjaan domestik dan pekerjaan, sekali gus menyokong pertumbuhan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pihaknya menjangkakan pertumbuhan ekonomi bagi 2021 adalah 4.2 peratus, manakala bagi 2022 pula, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bakal meningkat lagi sebanyak 5.3 peratus.

Beliau berkata, ia bererti proses pemulihan ekonomi bakal berlangsung dan kebenaran untuk merentasi negeri sudah pasti akan membantu dalam merealisasikan jangkaan pertumbuhan yang lebih baik tahun hadapan.

“Kedua-dua enjin pertumbuhan iaitu sektor luaran dan ekonomi domestik akan bergerak lebih aktif sejajar dengan proses pembukaan ekonomi,” katanya kepada BH bagi mengulas mengenai lembaran baharu pemulihan ekonomi Malaysia dengan pelonggaran langkah membendung pandemik.

Dari sudut politik, Mohd Afzanizam berkata, secara ketaranya ialah dari segi merangka dasar dan melaksanakan dasar yang bakal dan telah diumumkan.

Beliau berkata, dalam hal itu sumber ekonomi termasuklah kerajaan sememangnya terhad, justeru perkara berkenaan memerlukan suatu kebijaksanaan dan ketegasan dalam melaksanakan satu dasar terutamanya yang berkaitan reformasi struktur ekonomi.

“Akan ada perkara yang kurang popular seperti pelaksanaan cukai baharu dan penjajaran dalam perbelanjaan kerajaan perlu dilakukan bagi memastikan sumber yang terhad dapat diagihkan ke tempat yang lebih produktif,” katanya.

Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui’zz Morhalim pula berkata, pihaknya menjangkakan prospek pemulihan ekonomi yang lebih memberangsangkan pada suku keempat 2021 berikutan aktiviti perbelanjaan dalam negeri diunjur bertambah baik apabila ekonomi negara dibuka semula termasuk kebenaran merentas negeri.

Beliau berkata, secara umumnya, pelonggaran kawalan pergerakan bagi individu yang telah divaksin penuh adalah seperti dijangka berikutan kadar pemberian vaksin yang menggalakkan dan situasi COVID-19 di Malaysia yang dilihat bertambah baik.

“Kami berpendapat ekonomi negara mampu berkembang sebanyak 4.6 peratus bagi tahun ini disokong pertumbuhan ekonomi yang akan kembali meningkat bagi suku keempat 2021.

“Momentum pertumbuhan yang lebih baik ini dijangka akan terus berlanjutan ke tahun hadapan disokong kenaikan permintaan luar negeri serta peningkatan aktiviti perbelanjaan domestik yang dijangka akan lebih baik berbanding tahun ini,” katanya.

Namun begitu, Abdul Mui’zz berkata, terdapat juga faktor yang boleh menjejaskan pemulihan ekonomi iaitu pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan kerana ia akan mempengaruhi prestasi eksport dan aktiviti pembuatan.

Selain itu, beliau berkata, pemulihan pasaran pekerjaan yang lembap pula akan menjejaskan pemulihan perbelanjaan domestik kerana paras pengangguran masih berada paras yang tinggi berbanding sebelum pandemik COVID-19 bermula.

Mengenai politik pula, ahli ekonomi itu menjelaskan, suasana politik tempatan buat masa ini secara umumnya tidaklah begitu membimbangkan berbanding beberapa bulan sebelum ini.

Namun, katanya, sebarang perubahan situasi politik akan terus dipantau sekiranya ia bakal menjejas hala tuju dan pelaksanaan dasar ekonomi negara selain memberi kesan langsung yang ketara terhadap prestasi pemulihan ekonomi negara umumnya.

Sementara itu, RHB Research dalam nota penyelidikannya berkata, dengan Malaysia beralih kepada keadaan politik yang lebih stabil dan kekangan COVID-19 yang mengurang, kadar vaksinasi yang tinggi membantu mempercepat proses normalisasi.

Malah, penganalisis ekonomi RHB juga telah mengekalkan KDNK sebanyak 5.4 peratus bagi 2021, mengatasi unjuran rasmi kerajaan 3.0 peratus hingga 4.0 peratus.

Bagi tahun depan pula, dengan faktor yang lebih positif dan dinamik, ia menjangkakan KDNK Malaysia bagi 2022 ialah 5.5 peratus.

Sementara itu, Affin Hwang Investment Bank dalam nota penyelidikannya pula menjangkakan kerajaan akan membuka semula sempadan untuk pelancong asing pada suku pertama 2022 berikutan kadar vaksinasi di negara ini yang tinggi dan juga kemajuan kadar vaksinasi di negara jiran.

Ia berkata, pelonggaran sekatan pergerakan bagi rakyat Malaysia yang mendapat vaksin penuh diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad sangat mengejutkan terutama membabitkan pemansuhan sekatan bagi perjalanan antarabangsa yang mana sebelum ini, pihaknya menjangkakan kerajaan hanya membenarkan perjalanan antarabangsa pada suku pertama 2022.

“Dengan mempertimbangkan kenyataan Perdana Menteri, kami jangka pembukaan semula (sempadan) untuk pelancong asing akan beransur-ansur, bersasar dan kelulusan kemasukan akan bergantung kepada situasi COVID-19 dari negara asal,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon