Pemain industri kesihatan Malaysia dipelawa melabur di Indonesia
09 Jun 2023
Menteri Perdagangan Indonesia, Zulkifli Hasan mempelawa pemain industri kesihatan Malaysia untuk melabur di Indonesia.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata pemain industri Malaysia perlu melihat potensi khususnya pembinaan hospital di luar dari Pulau Jawa.
Perkara itu disampaikan beliau ketika pertemuan dua hala dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Kuala Lumpur pada Rabu.
Pertemuan itu bertujuan untuk membincangkan Perjanjian Perdagangan Sempadan yang ditandatangani kedua-dua menteri di Putrajaya semalam yang disaksikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo.
Menurut Zulkifli, perjanjian itu akan mempermudahkan perdagangan sekali gus meningkatkan kesejahteraan masyarakat di sempadan Malaysia dan Indonesia.
Kedua-dua negara kini akan meneruskan proses ratifikasi perjanjian mengikut peruntukan undang-undang di negara masing-masing sebelum dikuatkuasakan.
Malaysia adalah destinasi eksport kelima dan sumber import keempat terbesar Indonesia dengan nilai perdagangan mencecah AS$27.9 bilion (AS$1=RM4.60) pada 2022.
Eksport Indonesia ke Malaysia bernilai AS$15.4 bilion manakala import sebanyak AS$12.5 bilion, dengan lebihan dagangan AS$2.9 bilion.
Sumber: Bernama