Pemain industri optimis dengan prospek
semikonduktor, CGS-CIMB kekalkan pandangan
‘overweight’
11 Apr 2022
Pemain industri semikonduktor di negara ini optimis akan memperoleh permintaan yang kukuh dalam segmen automotif menjangkaui 2022 dipacu peralihan struktur kenderaan elektrik (EV), bantuan pemanduan termaju (ADAS), keselamatan dan keterhubungan, menurut CGS-CIMB Research.
Berdasarkan keyakinan tersebut, ia mendorong firma tersebut mengekalkan pandangan ‘overweight’ terhadap sektor semikonduktor bagi tahun ini.
Firma itu mengadakan pertemuan dengan 3 pemain industri, Inari Amerton Bhd., Malaysian Pacific Industries Bhd. (MPI) dan Pentamaster Corp. Bhd. sempena Persidangan Teknologi dan EV buat kali pertama secara maya pada 7 hingga 8 April lalu untuk meninjau prospek bagi sektor tersebut.
Penganalisisnya, Mohd Shanaz Noor Azam berkata, ketiga-tiga syarikat berkenaan menyatakan keyakinan mereka dengan prospek pertumbuhan jualan dalam segmen automotif yang lebih kukuh di sebalik cabaran jangka pendek akibat gangguan rantaian bekalan, kekurangan modal insan dan tempoh pengeluaran alatan yang lebih lama.
“Namun begitu, kami menjangkakan margin kekal agak stabil walaupun persekitaran kos meningkat kerana peralihan struktur ke arah portfolio margin yang lebih tinggi dan pakej lanjutan akan membantu mengurangkan tekanan kos inflasi.
“Kami juga menjangkakan pertumbuhan untung bersih teras meningkat sebanyak 21% dan 24% masing-masing bagi penyumberan luar pengujian dan pemasangan semikonduktor (OSAT) dan peralatan ujian automatik (ATE) pada 2022,” katanya dalam nota kajian hari ini.
Secara keseluruhan firma itu memberi saranan ‘tambah’ terhadap Inari, MPI dan Pentamaster dengan harga sasaran masing-masing pada RM4.30, RM48.60 dan RM4.20.
Menurut beliau, Inari kini memberi tumpuan kepada strategi pengembangan portfolio menerusi 5 projek baharu, dengan salah satu diberikan kumpulan adalah dalam segmen komunikasi data, dengan pertumbuhan jualan lebih kukuh tahun ini dipacu pengkomersialan secara besar-besaran bagi modul transceiver baharu yang memasuki aplikasi pusat data di P21.
Di samping itu, kumpulan juga mempunyai visi yang kukuh bagi sistem baharu untuk pemasangan modul menjadi pemacu pertumbuhan utama dalam tempoh 3 tahun akan datang, dengan potensi sumbangan hasil tahunan sebanyak AS$100 juta.
Bagi MPI pula, ia mengulangi strateginya untuk memperoleh lebih 50% pendedahan hasil daripada segmen automotif dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang (berbanding 33% pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 21) melalui aplikasi baharu, seperti silikon karbida (SiC) dan galium nitride (GaN), dan penggunaan sensor yang semakin meningkat dalam EV.
Sementara itu, kumpulan itu juga berkata, kilangnya di Carsem Suzhou (CSZ), China tetap beroperasi walaupun negara tersebut mengetatkan langkah sekatan bagi membendung jangkitan COVID-19 di Shanghai dan Shenzhen.
“Kumpulan mungkin berdepan ketidaktentuan dalam tempoh jangka sederhana disebabkan masalah kekurangan bekalan di CSZ memandangkan beberapa faundri di China ditutup sejak Mac.
“Meskipun, ini boleh menjejaskan jualan CSZ pada suku berakhir 30 Jun 2022 (FY22), kami tidak terlalu bimbang kerana MPI dijangka merekodkan pertumbuhan jualan 20% tahun ke tahun bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 Jun 2022,” jelasnya.
Pentamaster pula, menurut Mohd. Shanaz, ia menjangkakan segmen automotif akan menjadi pemacu kepada hasil kumpulan dengan mengunjurkan sumbangan pendapatan sebanyak 30% pada 2022 berbanding 20% pada tahun sebelumnya.
“Malah, kumpulan mengaitkan pertumbuhan yang lebih kukuh itu kepada pangkalan pelanggan yang semakin berkembang dan peningkatan pesanan berulang untuk penyelesaian wafer burn-in dan ujian untuk wafer SiC, IGBT dan modul kuasa bersepadu dalam EV dan kereta api,” katanya.
Setakat 10.36 pagi ini, harga saham MPI susut 78 sen atau 2.21% kepada RM34.50 diikuti Inari susut 3 sen atau 0.98% kepada RM3.02 dan Pentamaster susut 16 sen atau 4.34% kepada RM3.53.
Sumber: DagangNews