Pemain logistik bumiputera dicadang bentuk kolaborasi pastikan terus berdaya saing – Teraju
27 Mac 2023
Pemain logistik bumiputera dicadang berkolaborasi bagi memastikan syarikat bumiputera yang terlibat dalam sektor berkenaan terus berdaya saing di pasaran domestik dan antarabangsa.
Menurut laporan Kajian Prestasi Rantaian dan Nilai Bumiputera Dalam Sektor Logistik oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), langkah itu adalah antara strategi yang dicadangkan bagi meningkatkan prestasi bumiputera dalam sektor logistik.
Menurut laporan kajian yang dikeluarkan TERAJU, kolaborasi itu boleh dirujuk sebagai Kolaborasi Logistik Bumiputera (KLB) dan diwujudkan dalam bentuk usaha sama atau koperasi, mengambil kira impak jangka panjang semasa fasa perlaksanaan strategi itu kelak.
“Kolaborasi dalam laporan ini perlu direka dengan matlamat untuk membentuk syarikat-syarikat bumiputera bertaraf logistik pihak keempat (4PL).
“Ia bermatlamat mengukuhkan rangkaian dan pengintegrasian perkhidmatan antara penggiat logistik bumiputera; meningkatkan daya saing penyedia perkhidmatan logistik bumiputera dengan kadar segera; memperkasakan aset dan sumber sedia ada untuk bersaing dalam pasaran yang padat dan membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada penggiat logistik bumiputera terutamanya dalam pasaran baharu yang bermargin tinggi,” menurut laporan itu, di sini.
Menurut laporan tersebut, kolaborasi (berbentuk koperasi) itu boleh dibuka kepada semua syarikat logistik bumiputera di Semenanjung, Sabah, Sarawak serta luar negara dengan yuran keahlian ditetapkan dan ahli-ahli akan mendapat dividen tahunan berdasarkan prestasi pelaburan dan perniagaan kolaborasi (berbentuk koperasi).
Untuk memastikan objektif utama tercapai, KLB melalui entiti komersialnya perlu bergerak sebagai sebuah entiti korporat yang keputusan dan pelaburan dibuat untuk kepentingan dan kemajuan perniagaan ahli-ahlinya, menurut laporan itu.
Bagaimanapun, laporan itu menyebut, matlamat utama KLB untuk membentuk syarikat bumiputera bertaraf 4PL bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai.
“Syarikat 4PL perlu canggih dan lengkap dari pelbagai aspek perkhidmatan terutama dalam pengurusan rantaian nilai. Justeru, syarikat bumiputera terlebih dahulu perlu dipersiapkan dengan segala keperluan itu. Oleh itu, pelaksanaan strategi ini dibahagikan kepada pelan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang bagi memberi peluang kepada kolaborasi serta ahli-ahlinya untuk mengatasi cabaran dan kelemahan dengan beransur-ansur dan maju secara mampan,” katanya.
Menurut laporan itu, selain strategi kolaborasi (berbentuk koperasi), TERAJU juga mencadangkan dua lagi strategi iaitu penerokaan pasaran baharu dan perniagaan bermargin tinggi oleh syarikat bumiputera, selain dicadangkan agar peningkatan peluang diberikan kepada syarikat bumiputera untuk membina daya saing dan berdaya maju.
Laporan itu berkata jika kesemua strategi yang dicadangkan dapat dilaksanakan, penyertaan bumiputera dalam pasaran sektor logistik bakal meningkat dari 14 peratus ke 25 peratus pada 2030 berdasarkan anggaran EBITDA (Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan) yang akan dijana KLB berbanding unjuran cara niaga sedia ada sektor logistik Malaysia.
Jumlah pelaburan awal sebanyak RM227 juta ringgit untuk penaiktarafan infrastruktur, piawaian, pendigitalan dan operasi diperlukan daripada sektor swasta terlibat.
“Dengan bertambahnya penglibatan dalam perkhidmatan bermargin tinggi serta bidang-bidang baharu, jumlah nilai GOS (Sumbangan Lebihan Kendalian Kasar) perusahaan bumiputera dalam sektor berkenaan dijangka mencecah sehingga RM9.2 bilion pada tahun 2030.
“Anggaran ini adalah tambahan ke atas sasaran GOS Pelan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) sebanyak RM23.5 bilion menjelang 2030,” menurut TERAJU dalam laporan itu.
Terdahulu dalam laporan sama, TERAJU menyenaraikan tujuh cabaran dihadapi syarikat logistik bumiputera iaitu peluang perniagaan yang terhad; kurang pelaburan dan kurang modal insan berkemahiran.
Syarikat bumiputera juga berdepan cabaran keupayaan terhad untuk memenuhi permintaan tinggi dan pelbagai; kurang daya saing dalam pasaran yang sesak; pemecahan industri dan kurang integrasi serta kesan pandemik COVID-19.
Sumber: Bernama