PEMANGKIN kenal pasti 9 sektor tumpuan, nilai pelaburan RM1 bilion - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


PEMANGKIN kenal pasti 9 sektor tumpuan, nilai pelaburan RM1 bilion

PEMANGKIN kenal pasti 9 sektor tumpuan, nilai pelaburan RM1 bilion

17 Apr 2023

Sembilan sektor tumpuan dikenal pasti di bawah Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN) membabitkan nilai pelaburan RM1 bilion yang bakal menjana hingga 49,000 peluang pekerjaan menjelang 2025.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata sembilan sektor tumpuan itu membabitkan pelancongan digital, pertanian digital, bandar digital, kandungan digital, kewangan digital, perdagangan digital, servis digital, kesihatan digital dan ekonomi digital Islam.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memperuntukkan RM238 juta untuk tempoh 2023-2025 bagi menyokong inisiatif di bawah PEMANGKIN, termasuk tiga geran digital baharu.

“Insentif disediakan. Ada yang berbentuk geran dan pelaburan daripada sektor swasta. Pengumuman mengenai geran akan dibuat pada Mei dan MDEC akan menyatakannya secara terperinci,” katanya pada sidang media sempena pengumuman dan taklimat PEMANGKIN di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts Mahadhir Aziz.

Fahmi berkata, sektor yang dikenal pasti di bawah program PEMANGKIN itu akan menjadi pemacu penting inovasi, daya saing dan pertumbuhan dan akan membantu untuk menyambut ‘dekad digital emas’ Malaysia.

Beliau berkata, kementeriannya menerusi MDEC akan terus memperkenalkan lebih banyak program PEMANGKIN baharu dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab digital pilihan di ASEAN serta membuka peluang untuk semua selari dengan konsep Malaysia MADANI.

Katanya, sebelum ini sudah ada program seperti DE Rantau, e-Invoicing dan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang yang diikhtiarkan MDEC bagi pembangunan ekonomi digital.

Jelasnya, program awal seperti DE Rantau dan Digital Trade membantu menjadikan Malaysia sebagai hab nomad digital serta memudahkan perdagangan melalui peraturan dan penyeragaman.

“Saya percaya dengan gabungan dan usaha sama antara pihak kerajaan dan swasta akan memacu dan memangkin pembangunan ekonomi digital.

“Hasrat saya dan kementerian ialah ikhtiar seperti ini bukan sahaja memanfaatkan syarikat besar, tetapi akhirnya rakyat biasa sama ada mendapat kerja dan manfaat prasarana yang tersedia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon