Pembangunan Sedenak mampu bantu pemulihan ekonomi, sosial di Iskandar Malaysia – IRDA
26 Jan 2022
Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menyasarkan pembangunan Sedenak sebagai satu lagi peluang yang dapat membantu pemulihan ekonomi dan sosial wilayah itu selain menjadi platform yang berdaya tahan untuk perniagaan serta rakyat.
Ketua Eksekutif IRDA Datuk Dr Badrul Hisham Kassim berkata kemajuan Sedenak juga dapat melonjakkan pertumbuhan kawasan tersebut serta daerah-daerah berhampiran bagi manfaat masyarakat setempat serta mengukuhkan jaringan akses antara Johor dan negeri-negeri lain.
“Apa juga yang kami mahu usahakan memerlukan pelbagai bentuk pembabitan dan kerjasama daripada pihak berkepentingan dan ini tidak hanya merangkumi aspek membawa masuk pelaburan besar ke wilayah ini.
“Penglibatan serta kerjasama itu juga boleh meliputi aspek sokongan terhadap program dan inisiatif sosial dan alam sekitar kami yang merupakan agenda utama dalam pembangunan wilayah tersebut,” katanya pada sesi taklimat media di sini, hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkata IRDA telah memulakan inisiatif membangunkan Mukim Sedenak di utara Iskandar Malaysia dengan tumpuan terhadap industri agroteknologi dan berteknolog tinggi, penyelidikan dan pembangunan serta aktiviti berkarbon rendah.
Menurut perdana menteri, Sedenak akan menjadi ‘flagship’ atau kemegahan keenam Iskandar Malaysia selepas pusat bandar raya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas dan Tanjung Bin, Pasir Gudang dan Tanjung Langsat serta Senai-Skudai.
Dalam pada itu, Badrul Hisham berkata bagi tahun ini, IRDA memberi tumpuan kepada pemulihan aspek ekonomi dan sosial yang disokong oleh ekosistem berdaya tahan dan dipacu oleh tindakan bercirikan transformatif.
“Dua perkara perlu diambil kira bagi memacu pemulihan ekonomi dan sosial iaitu meningkatkan pelaburan asing dan domestik ke Iskandar Malaysia dan melonjakkan peluang keusahawanan serta perniagaan untuk penduduk tempatan.
“Sebagai pemacu utama pembangunan Iskandar Malaysia, pelaburan asing dan domestik perlu terus memasuki wilayah ini,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, IRDA akan meningkatkan libat urus dengan pelabur semasa dan berpotensi selain bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan rakan swasta bagi mempromosikan Iskandar Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
“Pelaburan ini seharusnya mampu memberi impak terhadap perniagaan tempatan dan rakyat bagi membolehkan mereka berupaya bangkit semula sama ada menerusi peluang pekerjaan atau produk dan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.
Sumber: Bernama