Pemulihan sektor pembuatan dijangka berterusan – FMM
01 Mac 2022
Sektor pembuatan bersedia untuk meneruskan pengukuhan momentum pemulihannya pada separuh pertama 2022, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).
Melangkah ke 2022, permintaan luar yang semakin meningkat dijangka meningkatkan pemulihan dalam sektor pembuatan di tengah-tengah tekanan domestik dan luar yang berterusan, katanya.
“Semua penunjuk yang berpandangan ke hadapan kembali pulih dengan bacaan di atas paras ambang optimis, membayangkan unjuran jangka pendek bagi sektor pembuatan adalah positif.
“Indeks aktiviti perniagaan dijangka melonjak kepada 122 berbanding 60 sebelum ini, membayangkan bahawa aktiviti perniagaan dijangka mendapat momentum selanjutnya dalam tempoh enam bulan akan datang,” kata Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai dalam satu kenyataan hari ini sempena keluaran Kajian Keadaan Perniagaan FMM-Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Edisi ke-20.
Kerjasama dwi-tahunan antara FMM dan MIER itu mendedahkan bahawa 39 peratus daripada responden percaya bahawa aktiviti perniagaan akan meningkat tidak lama lagi, manakala 17 peratus adalah pesimis dalam aspek itu, yang sangat berbeza dengan 55 peratus yang menjawab sama dalam tinjauan sebelumnya.
Bagi enam bulan 2022, tinjauan itu mendedahkan strategi/tindakan berkaitan produktiviti paling popular yang kebanyakan responden akan lakukan ialah latihan dan peningkatan kemahiran (67 peratus); 45 peratus akan meningkatkan pekerja teknikal mereka; 43 peratus akan melaksanakan pembuatan yang ditambahbaik secara berterusan; manakala 13 peratus akan membenarkan waktu fleksibel dan pekerja bekerja dari rumah.
Mengenai strategi berkaitan teknologi, 74 peratus merancang untuk menerima pakai Industri 4.0, manakala 65 peratus dan 44 peratus masing-masing mempertimbangkan automasi dan pendigitalan.
Strategi lain termasuk pengembangan pasaran (61 peratus maklum balas), pengenalan produk baharu (48 peratus), penggunaan penyelidikan dan pembangunan serta inovasi (28 peratus), pengembangan rantaian bekalan tempatan (26 peratus) dan kepelbagaian perniagaan (26 peratus).
Tinjauan itu juga mendedahkan bahawa sektor pembuatan mengakhiri 2021 secara positif apabila aktiviti ekonomi disambung semula dengan pelonggaran langkah membendung dan pemulihan permintaan global untuk barangan perkilangan.
“Kedua-dua penunjuk semasa dan berpandangan ke hadapan dalam tinjauan terkini meningkat dari separuh pertama 2021, satu petunjuk bahawa keyakinan dalam kalangan pengeluar secara amnya bertambah baik pada separuh kedua 2021, dan sektor itu bersedia untuk mengukuhkan lagi momentum pemulihannya pada separuh pertama 2022 ,” katanya.
Tinjauan itu, yang membabitkan 702 responden di seluruh negara, telah dijalankan dari 5 Januari hingga 10 Februari 2022, sebelum konflik Russia-Ukraine, dan mengesan keyakinan perniagaan melalui Indeks Keadaan Perniagaan FMM-MIER (FMM BCI) yang meliputi prestasi sebenar pada separuh kedua 2021 dan tinjauan untuk separuh pertama 2022.
Sumber: Bernama