Peningkatan permintaan komoditi pacu prestasi eksport, import Malaysia - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Peningkatan permintaan komoditi pacu prestasi eksport, import Malaysia

Peningkatan permintaan komoditi pacu prestasi eksport, import Malaysia

18 Apr 2022

Peningkatan harga dan permintaan komoditi akibat perang Rusia-Ukraine yang turut menjejaskan bekalan banyak input penting pengeluaran bagi menjana ekonomi global, kini mula memaparkan impaknya terhadap data makro global dengan angka dagangan Malaysia dan Indonesia mencatat aliran kenaikan yang kukuh.

Menurut OCBC Bank, eksport Malaysia yang mencatat 25.4 peratus bagi tahun ke tahun pada Mac merupakan peningkatan daripada 10.4 peratus yang dijangkakan pasaran serta melangkaui 16.8 peratus tahun ke tahun yang direkodkan pada Februari.

Eksport Indonesia berkembang sebanyak 44.36 peratus tahun ke tahun yang jelas mengatasi jangkaan pasaran sekitar 25 peratus dan meningkat 34 peratus pada Februari manakala eksport perlombongan melonjak 143.9 peratus pada Mac, didorong oleh lonjakan permintaan terhadap komoditi seperti arang batu, minyak sawit, timah dan nikel.

“Ini sebaliknya turut memberi kejutan dari segi import. Malaysia menyaksikan importnya menghampiri 30 peratus berbanding 16.4 peratus manakala Indonesia mencatat 30.85 peratus berbanding jangkaan awal sebanyak 18.5 peratus.

“Perkembangan ini jelas menjadi petanda bahawa kedua-dua negara itu sedang mencatat pemulihan. Bagaimanapun, ini turut membabitkan faktor harga, terutamanya bagi Indonesia yang merupakan pengimport gandum dan kacang soya selain minyak,” katanya.

OCBC berkata pengukuhan eksport tersebut dapat menampung kesan kenaikan import dengan lebihan imbangan dagangan dicatatkan oleh kedua-dua aspek terbabit.

“Keadaan ini amat penting khususnya bagi Indonesia yang mahu mengekalkan defisit akaun semasa dalam usaha meminimumkan impak daripada sebarang langkah memperketat ekonomi seperti tindakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon