Perak laksana projek CLQ tempatkan pekerja asing menjelang 2027
01 Dis 2022
Kerajaan Perak dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) akan melaksanakan projek pembangunan penginapan pekerja berpusat (CLQ) di beberapa kawasan perindustrian di negeri ini yang mampu menempatkan 12,000 pekerja asing menjelang 2027.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata projek perintis CLQ akan dilaksanakan di kawasan perindustrian di Jelapang di sini, yang akan dijadikan penanda aras bagi membangunkan projek CLQ di sekitar kawasan perindustrian berskala besar dengan bilangan pekerja asing yang tinggi.
“Sebagai contoh projek CLQ ini akan dilaksanakan di Kawasan Estet Perindustrian Kerian, Taman Perindustrian Kamunting, Silver Valley Technology Park, Kawasan Perindustrian Daerah Kinta, Taman Perindustrian Bemban serta Seri Iskandar.
“Pelaksanaan projek CLQ ini menandakan komitmen kerajaan negeri untuk mengorak langkah ke hadapan untuk terus menyokong kadar pertumbuhan pesat pembangunan perindustrian di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek CLQ di Asrama Murni, Persiaran Jelapang di sini hari ini.
Saarani berkata projek CLQ dibina dan diuruskan dengan mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang memberi penekanan terhadap kesejahteraan pekerja termasuk menetapkan piawaian minimum perumahan bagi golongan pekerja.
Beliau berkata projek tersebut menawarkan standard tinggi dan perkhidmatan nilai tambah dengan lebih banyak syarikat antarabangsa dan domestik untuk menyokong manfaat CLQ seterusnya mampu mendapatkan lebih banyak penyewa untuk fasa masa hadapan.
“Projek perintis CLQ ini sejajar dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang bersandarkan kepada lima prinsip asas dalam usaha memacu pembangunan sosioekonomi mapan, inklusif dan dinamik,” katanya yang tidak mendedahkan kos pembangunan keseluruhan projek CLQ berkenaan.
Sumber: Bernama