Peraturan berkualiti akan lonjak kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan – Azmin
25 Nov 2021
Peraturan berkualiti akan membina persekitaran perniagaan yang kondusif dan melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan serta rakan perdagangan antarabangsa, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata kaedah Amalan Baik Peraturan (GRP) dan Behavioural Insights (BI) adalah pelengkap untuk peraturan berkualiti seperti yang ditekankan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Dalam merealisasikan agenda ini, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) komited dan aktif dalam membangunkan kompetensi pembuat dasar dan penjawat awam untuk menerima pakai GRP dan BI dalam penggubalan dan semakan peraturan,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Kebangsaan Amalan Baik Peraturan (GRP) secara maya hari ini.
Azmin berkata Bajet 2022 telah memperuntukkan dana khas pelaburan strategik berjumlah RM2 bilion untuk menarik pelaburan asing dalam kalangan syarikat multinasional.
“Penggunaan bajet secara optimum mesti disokong oleh dasar dan peraturan yang mesra pelabur, khususnya bagi proses untuk memulakan operasi perniagaan seperti urusan permohonan permit dan kelulusan pembinaan,” katanya.
Beliau berkata antara usaha terkini dalam memudahcara perniagaan yang dilaksanakan MPC adalah inisiatif E10 atau Permit Pembinaan Ekspres dan terkini, E10 telah diperluas ke negeri Pahang dalam usaha untuk memudahkan kemasukan pelaburan berimpak tinggi dalam proses pembinaan kilang.
“Kesannya sekali gus akan mengurangkan jurang pendapatan dan ketidaksamaan pembangunan antara wilayah dan negeri, seperti yang disasarkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.
Beliau berkata MPC turut bekerjasama dengan kementerian dan agensi lain bagi mengurangkan beban peraturan melalui program Malaysia Mudah (#MyMudah).
Katanya usaha pembaharuan tersebut mesti diteruskan bagi menambah baik lagi pelaksanakan peraturan yang berkualiti agar persekitaran perniagaan kondusif dapat diwujudkan bagi menyokong aktiviti ekonomi serta mendorong peningkatan prosedur, produktiviti dan inovasi.
“Demi memulihkan dan merancakkan lagi ekonomi negara untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia, saya menyeru seluruh jentera pentadbiran kerajaan untuk bersama melipatgandakan usaha inovasi dan pembaharuan dalam ekosistem peraturan negara,” katanya.
Sumber: Bernama