Perdagangan Malaysia sekali lagi cecah RM2 trilion
18 Jan 2023
Perdagangan Malaysia melebihi aras RM2 trilion bagi dua tahun berturut-turut dan mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak 1994.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pada tahun 2022, perdagangan Malaysia masih mengekalkan prestasinya yang memberangsangkan dan mencatatkan satu lagi pencapaian terbaik apabila perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan melonjak ke nilai tertinggi yang baharu.
“Ini adalah gambaran positif bahawa perdagangan negara sedang berada pada trajektori peningkatan yang didorong oleh faktor permintaan luar yang tinggi serta harga komoditi yang kukuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, eksport bernilai RM1.552 trilion, melebihi unjuran Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) bagi tahun 2025 sebanyak 24 peratus, tiga tahun lebih awal dari sasaran yang ditetapkan.
Sementara itu, katanya import mencatatkan satu lagi pencapaian baharu apabila buat julung kalinya melebihi aras RM1 trilion.
“Lebihan dagangan yang ke-25 tahun berturut-turut direkodkan sejak 1998,” katanya.
Bagi pasaran pula, Tengku Zafrul berkata eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun mencatatkan nilai tertinggi baharu.
Beliau berkata, kenaikan eksport yang ketara turut dicatatkan ke pasaran baharu seperti Mesir, Sri Lanka, Mozambique, Papua New Guinea, Togo, Djibouti dan Afghanistan.
Katanya, eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) juga mencatatkan nilai tertinggi setakat ini.
“Sementara itu, eksport ke pasaran di bawah perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang berkuat kuasa tahun lalu mencatatkan pertumbuhan dua digit.
“Eksport sektor barangan perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian merekodkan nilai tertinggi setakat ini dengan pertumbuhan dua digit,” katanya.
Tengku Zafrul menjelaskan, pertumbuhan eksport yang mampan ini disokong oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG), minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, petroleum mentah serta jentera, kelengkapan dan peralatan, di mana setiap barangan ini merekodkan kenaikan melebihi RM10 bilion dengan pertumbuhan dua digit.
“Kesemua barangan ini juga merekodkan nilai eksport tertinggi kecuali petroleum mentah,” katanya.
Beliau menambah, prestasi perdagangan Malaysia yang kukuh adalah seiring dengan pasaran
di rantau ini terutamanya Taiwan dan Korea Selatan berikutan permintaan global yang mantap.
“Walaupun berada di dalam landskap global semasa yang mencabar, kami akan terus memperkasakan aktiviti promosi perdagangan antarabangsa serta eksport agar dapat memperkukuhkan lagi daya tahan perniagaan dan seterusnya mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Sumber: Berita Harian