Perjanjian serantau, pelbagai hala penting untuk pacu pemulihan ekonomi pasca pandemik
03 Dis 2021
Perjanjian perdagangan serantau dan pelbagai hala penting dalam memacu pemulihan ekonomi dan pertumbuhan mampan serta menyediakan asas bagi kepaduan lebih kukuh dalam perdagangan, terutamanya bagi menggerakkan pertumbuhan pasca krisis, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurut beliau, ketika sistem dagangan dicipta semula, kebimbangan tercetus sama ada liberalisasi perdagangan tidak terkawal akan dicapai dengan mengorbankan golongan yang lemah dan yang terpinggir.
Mohamed Azmin berkata demikian dalam ucapannya pada Forum Inisiatif Asia Pasifik Ketiga 2021 yang bertemakan “Prioritising innovation as the key to unlocking post-crisis growth” (Mengutamakan inovasi sebagai kunci untuk pertumbuhan pasca krisis), semalam.
“Justeru, adalah wajar untuk mengulangi bahawa perlindungan istimewa yang tertulis dalam Perjanjian Perdagangan Bebas ini bagi entiti tersebut, serta kepentingan kaum asli, perlu dihormati bukan dari segi pelanggaran tetapi dari segi pematuhan,” katanya.
Mengambil contoh kesepakatan serantau, iaitu Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik, Mohamed Azmin berkata perjanjian ini penting dalam memacu pemulihan ekonomi dan pertumbuhan mampan serta menyediakan blok binaan bagi kepaduan yang lebih kukuh.
“Jika kita mengikut peraturan — yang diasaskan pada sistem dagangan pelbagai hala yang bebas, adil dan terbuka –maka trajektori semula jadi adalah bagi persaingan dalam kerangka saling pergantungan,” katanya.
Beliau juga memberi penekanan kepada kepentingan inovasi dalam pemulihan pasca pandemik, dengan memberi contoh lonjakan kuantum dunia dalam penerimagunaan digital, yang menukar cara penyelesaian digital diterima dan penawaran dipertingkat diwujudkan.
“Keperluan bagi multilaterisme digital adalah sama penting kerana pendigitalan merupakan kuasa penggerak bagi hari ini dan masa depan,” katanya.
Pada 2016, saiz ekonomi digital global bernilai US$11.5 trilion, bersamaan dengan 15.5 peratus daripada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar global dan ia diunjur terus berkembang sehingga 24.3 peratus menjelang 2025.
Sumber: Bernama