Pertumbuhan sektor perkhidmatan, pembuatan Malaysia dijangka berterusan sehingga 2023
14 Nov 2022
Pertumbuhan sektor perkhidmatan dan pembuatan Malaysia menjadi faktor utama di sebalik data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga yang kukuh dan ia diunjur akan meneruskan pertumbuhannya sehingga tahun 2023.
Menerusi laporan Economic View Asia Pacific, Moody’s Analytics menyatakan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih kukuh sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga mengatasi jangkaan dengan penggunaan dan pelaburan menyumbang secara ketara kepada pertumbuhan tersebut.
Kemasukan pelancong yang tinggi mendorong permintaan untuk sektor perdagangan runcit, penginapan serta makanan dan minuman (F&B), oleh itu pertumbuhan dalam industri tersebut dijangka berterusan sehingga awal tahun 2023.
Menurut firma tersebut, eksport produk pembuatan kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan kekal teguh hingga tahun depan walaupun mengalami kelembapan di China.
“Sektor elektronik terus berkembang, didorong oleh permintaan terhadap cip semikonduktor, Malaysia menempatkan beberapa pengeluar semikonduktor utama, dan eksport mungkin kekal teguh hingga tahun depan,” menurut laporan tersebut yang dikeluarkan hari ini.
Sebagai pengeksport bersih minyak mentah dan minyak sawit, Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada harga komoditi yang lebih tinggi.
Selain itu, sektor perlombongan dan pertanian juga meningkat pada suku ketiga selepas terjejas ekoran masalah pekerja semasa awal pandemik.