PETRONAS rancang kilang penapisan bio di Pengerang - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


PETRONAS rancang kilang penapisan bio di Pengerang

PETRONAS rancang kilang penapisan bio di Pengerang

14 Dis 2022

PETRONAS, Eni S.p.A (Eni) dan Euglena Co Ltd (Euglena) mengumumkan mereka bersama-sama mengkaji kemungkinan membangunkan dan mengendalikan kilang penapisan bio di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), salah satu pembangunan penapisan dan petrokimia bersepadu terbesar di Asia Tenggara.

Menurut PETRONAS dalam satu kenyataan hari ini, ketiga-tiga pihak kini sedang menjalankan penilaian kebolehlaksanaan teknikal dan ekonomi bagi projek yang dicadangkan, dengan keputusan pelaburan dijangka dicapai menjelang 2023 dan loji itu disasarkan siap menjelang 2025.

Katanya, terletak bersebelahan dengan kemudahan penapisan dan petrokimia bersepadu sedia ada PETRONAS, kilang penapisan bio itu akan dapat memanfaatkan rantaian nilai bersepadu syarikat serta utiliti dan kemudahan sedia ada di dalam PIC.

“Lokasi strategik kompleks dengan akses mudah ke laluan perkapalan antarabangsa utama juga akan meningkatkan keupayaan kilang penapisan yang dirancang untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian mampan di seluruh dunia.

“Kilang penapisan bio ini dijangka mempunyai konfigurasi yang fleksibel untuk memaksimumkan pengeluaran Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF) untuk pesawat serta Minyak Sayuran Terhidrogenasi (HVO) untuk kenderaan atas jalan, kereta api berkuasa diesel dan pengangkutan marin.

“Fleksibiliti ini akan membolehkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan tenaga pelanggan yang sentiasa berubah dan berkembang,” katanya.

Kilang penapisan bio itu juga dijangka mempunyai keupayaan untuk memproses kira-kira 650,000 tan setahun bahan mentah untuk menghasilkan sehingga 12,500 tong sehari biobahan api, iaitu SAF, HVO, dan bio-naphtha.

Bahan mentah yang akan digunakan tidak akan bersaing dengan bahan dalam rantai makanan seperti minyak sayuran terpakai, lemak haiwan, sisa daripada pemprosesan minyak sayuran, dan biojisim lain termasuk minyak mikroalga yang akan diterokai dalam jangka pertengahan.

Naib Presiden, Penapisan, Pemasaran dan Perdagangan perniagaan Hiliran PETRONAS, Ahmad Adly Alias, berkata kerjasama itu penting untuk menyerlahkan kekuatan masing-masing dan bersama-sama mengukuhkan kedudukan PETRONAS dalam bidang bahan api bio di Malaysia serta seluruh dunia.

“Ini memandangkan PETRONAS terus melakar laluannya ke dalam ruang bahan api bio, menyahkarbon dan mempelbagaikan portfolio pengeluarannya untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat bagi penyelesaian mampan,” katanya.

PETRONAS ialah syarikat tenaga Asia pertama yang mengisytiharkan Pelepasan Sifar Karbon Bersih menjelang 2050 dan baru-baru ini terbabit dalam perkongsian untuk membekalkan SAF untuk penerbangan kargo dan penumpang komersial pertama Malaysia Airlines menggunakan pilihan bahan api yang lebih bersih serta berdaya maju.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi untuk Evolusi Tenaga Eni, Giuseppe Ricci, berkata untuk projek penapisan bio yang dibangunkan bersama Euglena dan PETRONAS di Malaysia, pihaknya berbesar hati untuk berkongsi pengalaman dan teknologi maju yang membolehkan syarikat itu melakukan penukaran pertama di dunia daripada kilang penapisan kepada kilang penapisan bio di Porto Marghera (Venice) pada 2014, dan merasmikan penapisan kedua di Gela, Sicily pada 2019.

Pengasas dan Presiden Euglena, Mitsuru Izumo, pula berkata projek ini adalah langkah penting untuk pengkomersilan perniagaan biofuel syarikat dan cabaran untuk mempercepatkan penggunaan biofuel serta penyahkarbonan di Jepun.

“Saya amat teruja dengan peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang hebat dalam kepakaran masing-masing dan melangkah bersama untuk masa depan yang lebih cerah dan bersih,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon