PKNS lancar GRIP Kota Puteri, dijangka raih pelaburan RM8 bilion - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


PKNS lancar GRIP Kota Puteri, dijangka raih pelaburan RM8 bilion

PKNS lancar GRIP Kota Puteri, dijangka raih pelaburan RM8 bilion

26 Jul 2023

Projek Taman Industri Hijau (GRIP) Kota Puteri yang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), dijangka menarik pelaburan berjumlah RM8 bilion selain menyediakan sehingga 5,000 peluang pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata pembangunan di tapak seluas 150.8 hektar di Seksyen 11 dan 12 di Kota Puteri dekat sini, juga mempunyai tarikan pelaburan berikutan lokasinya yang mudah diakses serta tidak jauh dari Pelabuhan Klang.

Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM2 bilion, akan dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur bagi memastikan kawasan itu lestari dan mampan.

“Ia turut diiktiraf dengan status sebagai Taman Perindustrian Terurus (MIP) yang dibangunkan dengan konsep berpusat dan berpagar.

“Status ini membolehkan pengilang memanfaatkan pelbagai insentif untuk menjadi lebih kompetitif dan hijau,” katanya pada majlis pelancaran GRIP Kota Puteri di tapak projek, hari ini.

Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas selanjutnya, Mahmud berkata pembangunan itu membabitkan 10 elemen bagi menyokong aktiviti perindustian berasaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) termasuk penempatan asrama pekerja secara berpusat, stesen pengecas kenderaan elektrik, taman rekreasi bertemakan air serta pusat kawalan berpusat.

“GRIP adalah sebahagian daripada ekosistem perbandaran Kota Puteri yang menempatkan kira-kira 9,000 unit rumah,” katanya.

Sementara itu, Amirudin menyifatkan projek GRIP Kota Puteri sebagai bukti kemampuan PKNS dalam mempelbagaikan pelaburan serta mewujudkan bandar perindustrian yang berdaya huni.

Malah, katanya, pembangunan GRIP Kota Puteri serta lain seumpamanya dapat memastikan ekonomi Selangor terus berdaya saing dan menjadi penyumbang terbesar keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

“Konsep MIP itu selaras dengan inisiatif kerajaan negeri untuk menggalakkan (kewujudan) taman perindustrian yang terurus di Selangor menerusi pengumuman beberapa insentif di bawah Wilayah Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS).

“Ini satu perkembangan amat positif iaitu kita mencipta ruang kerja, menarik pelaburan dan PKNS mempunyai rangkaian serta ekosistem hampir lengkap dengan menyediakan pula perumahan dan infrastruktur lain seperti kesihatan dalam satu perbandaran perindustrian,” katanya.

IDRISS adalah antara agenda dalam Rancangan Selangor Pertama yang merangkumi kawasan berkeluasan kira-kira 20,000 hektar dengan GDV dianggarkan bernilai RM1 trilion.

Amirudin berkata sebanyak 200 kilang dijangka dibina bagi menempatkan perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat besar selepas ketiga-tiga fasa pembangunan GRIP Kota Puteri siap pada 2027.

Fasa pertama merangkumi pembangunan tapak berkeluasan 48 hektar dan dijangka bermula pada akhir 2023 selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

“Kita akan siapkan fasa pertama dengan segera yang dijangka dalam masa dua hingga tiga tahun. Jika sambutannya bagus, mungkin fasa kedua boleh dimulakan menjelang akhir tahun depan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon