Prestasi eksport negara terus cemerlang
28 Jul 2021
Jumlah eksport bulanan Malaysia meneruskan momentum positif apabila mencatat pertumbuhan kukuh 27.2 peratus kepada RM105.47 bilion pada Jun, angka kedua tertinggi selepas RM105.59 bilion yang diraih pada April lalu.
Prestasi eksport Malaysia pada bulan dikaji juga adalah kali ketiga melepasi angka RM100 bilion tahun ini dan peningkatan tahun ke tahun selama 10 bulan berturut-turut sejak September 2020.
Bagi tempoh separuh pertama, nilai dagangan eksport melonjak 30.2 peratus kepada RM585.56 bilion dengan angka terbabit adalah tertinggi bagi tempoh enam bulan bagi Malaysia.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pertumbuhan eksport pada Jun selari dengan pemulihan ekonomi global dengan pembukaan aktiviti ekonomi di luar negara menandakan permintaan luaran yang lebih baik.
“Eksport Malaysia meningkat 27.2 peratus, didorong oleh eksport domestik dan eksport semula. Eksport domestik bernilai RM84.7 bilion menyumbang 80.3 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 21.0 peratus, tahun ke tahun.
“Sementara itu, eksport semula mencatatkan RM20.8 bilion, meningkat 61.2 peratus. Import pada Jun 2021 berjumlah RM83.2 bilion, naik 32.1 peratus berbanding Jun 2020, melebihi pertumbuhan eksport bagi dua bulan berturut-turut.
“Jumlah dagangan Malaysia berkembang 29.3 peratus, mencapai RM188.7 bilion, tahun ke tahun. Prestasi bulan ke bulan bagi eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan juga menunjukkan trend menaik masing-masing 14.3 peratus, 5.9 peratus, 10.4 peratus dan 61.7 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan berasingan berkata, pertumbuhan eksport disumbangkan oleh permintaan yang kukuh bagi keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E) khususnya litar bersepadu elektronik yang digunakan dalam pengeluaran telefon pintar, kereta, komputer dan kelengkapan rumah serta keluaran getah.
“Eksport ke semua pasaran utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua angka,” katanya.
Pada Jun 2021, eksport bagi ketiga-tiga sektor merekodkan pertumbuhan kukuh dua angka berbanding bulan yang sama tahun lalu.
Eksport barangan perkilangan yang merangkumi 86.6 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 25.8 peratus tahun ke tahun kepada RM91.3 bilion dan menjadi pertumbuhan dua angka yang ke tujuh bulan berturut-turut.
Selain itu, eksport yang meningkat melebihi RM1 bilion direkodkan bagi keluaran petroleum, barangan E&E, keluaran getah, kimia dan bahan kimia, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta barangan perkilangan logam.
Eksport keluaran pertanian berkembang 40 peratus kepada RM8.81 bilion berbanding Jun 2020 dipacu terutama oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Sementara itu, eksport hasil galian naik 32.9 peratus tahun ke tahun kepada RM4.96 bilion, mencatatkan pertumbuhan dua angka bagi tiga bulan berturut-turut dengan peningkatan itu disumbang oleh kenaikan eksport petroleum mentah dan gas asli cecair (LNG).
Prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan momentum kenaikan pada Jun dengan jumlah perdagangan meningkat 29.3 peratus kepada RM188.7 bilion berbanding Jun 2020.
Perdagangan, eksport dan import merekodkan nilai bulanan kedua tertinggi setakat ini selepas April 2021.
Ia juga menjadi nilai bulanan tertinggi dicatatkan bagi bulan Jun dan pertumbuhan dua angka bagi lima bulan berturut-turut.
Bagi tempoh separuh pertama 2021, MITI berkata, jumlah perdagangan Malaysia melepasi RM1 trilion, tempoh paling singkat pernah dicatatkan bagi mencapai tanda aras itu.
“Perdagangan bernilai RM1.056 trilion, berkembang 26 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Eksport naik 30.2 peratus kepada RM585.56 bilion dan import meningkat 21.1 peratus kepada RM470.53 bilion.
“Ini menjadi nilai separuh tahun yang tertinggi direkodkan bagi perdagangan, eksport dan import. Lebihan dagangan melonjak 87.7 peratus kepada RM115.04 bilion,” katanya.
Sumber: Berita Harian