Program vaksinasi akan tingkatkan ekonomi Malaysia, wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan – MEF
10 Feb 2021
Program vaksinasi yang dijadualkan pada akhir bulan ini akan meningkatkan lagi ekonomi Malaysia dan seterusnya membantu mewujudkan lebih banyak pekerjaan menjelang separuh kedua 2021, demikian menurut Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).
Pengarah Eksekutif Datuk Shamsuddin Bardan berkata lebih ramai majikan akan bersedia untuk menggaji pekerja bagi tempoh yang lebih lama daripada menyediakan pekerjaan jangka pendek atau berasaskan kontrak seperti yang diamalkan pada masa ini.
“Tetapi buat masa ini, saya kir walaupun dengan kontrak jangka pendek, graduan baharu dan penganggur seharusnya menghargai sebarang bentuk pekerjaan yang ditawarkan kerana pada hakikatnya majikan juga menghadapi masa-masa sukar berikutan pandemik COVID-19 ini.
‘’Kami tidak pasti dengan prospek jangka panjang perniagaan,” kata beliau kepada Bernama.
Shamsuddin berkata persekutuan itu telahpun mengemukakan kepada kerajaan mengenai isu betapa sukarnya majikan menawarkan pekerjaan untuk tempoh sekurang-kurangnya satu tahun sebagai prasyarat untuk layak bagi insentif pekerjaan dan ia berharap sektor swasta masih boleh mendapat subsidi yang disediakan
oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) walaupun mereka hanya dapat menawarkan pekerjaan untuk jangka masa pendek.
Namun demikian, beliau menambah sektor swasta akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu kerajaan menyediakan pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam masa yang getir seperti ini.
Kerajaan telah meluluskan sejumlah RM12.76 bilion di bawah Fasa Satu Program Subsidi Upah (PSU 1.0) setakat 29 Jan, 2021.
Sebanyak 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima faedah PSU 1.0 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Untuk Fasa Dua Program Subsidi Upah (PSU 2.0) di bawah bawah Kerangka Inisiatif Tambahan Khas PRIHATIN, sejumlah RM741.16 juta telah disalurkan kepada 64,345 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan pekerjaan bagi 518,793 pekerja setakat 29 Jan, 2021.
Shamsuddin juga berkata bahawa tahun 2021 akan menyaksikan lebih ramai akan ditingkatkan kemahiran menerusi inisiatif Dana Pembangunan Sumber Manusia Penjana dengan peruntukan RM2 bilion yang dilancarkan pada Jun tahun lepas.
Antara lain, inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan taraf rakyat Malaysia melalui program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula dengan memberi tumpuan kepada kebolehpasaran tenaga kerja serta padanan kerja.
“Pandemik ini adalah masalah jangka panjang bagi kita semua, jadi kita memerlukan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta agar kita sama-sama dapat memutuskan rantaian pandemik ini untuk meningkatkan ekonomi.
Pada Selasa, kerajaan berkata ia berhasrat mewujudkan 160,000 pekerjaan baharu tahun ini melalui komitmen pelaburan dan yakin unjuran itu boleh dicapai meskipun negara masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Pekerjaan Negara (NEC) dengan MEF adalah antara 10 anggota majlis yang terlibat.
Sumber: Bernama