Proton, Maxis bekerjasama bagi kes penggunaan 5G di kilang Tanjung Malim
19 Nov 2021
Proton Holdings Bhd (Proton) akan bekerjasama dengan Maxis bagi kes penggunaan teknologi 5G yang merangkumi pelbagai penyelesaian tertumpu untuk meningkatkan kilangnya di Tanjung Malim, Perak menerusi pemasangan rangkaian bermula Oktober 2021.
Dalam kenyataan bersama hari ini, pengeluar kereta nasional dan syarikat telekomunikasi itu berkata perkongsian terbabit adalah sebahagian daripada strategi pertumbuhan Proton dalam pembangunan Proton City sebagai model bandar pintar menerusi alatan dan sistem terkini serta sejajar dengan komitmen Maxis untuk menyampaikan inovasi dan penyelesaian 5G terbaik bagi perusahaan.
“Kes penggunaan itu akan bergantung kepada rangkaian 5G yang dibina khas dan Maxis akan menguruskan perkhidmatan secara menyeluruh untuk beberapa penyelesaian internet benda (IoT) di ibu pejabat pembuatan Proton di Tanjung Malim,” katanya.
Menurutnya, penyelesaian itu termasuk sistem Keselamatan Pintar bagi menjejak dan memastikan keselamatan model kereta dihasilkan dari kilang pengeluaran dan sistem sokongan serta penyelenggaraan Realiti Terimbuh/Realiti Maya untuk jurutera Proton berkomunikasi dengan rakan kongsi antarabangsa dalam masa nyata.
“Inovasi yang menggunakan teknologi 5G pada akhirnya akan memenuhi visi Proton untuk membina Kampus Pembuatan Pintar melalui pemindahan data berkelajuan tinggi dan kependaman rendah serta memberikan mobiliti lebih baik.
“Ia juga akan memberi kebolehpercayaan dan ketersambungan yang lancar untuk komunikasi awam dan swasta, pemantauan keselamatan, pencahayaan pintar dan bangunan pintar,” katanya.
Menurut Proton, teknologi 5G itu akan membolehkannya melanjutkan penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi kenderaan selular-untuk-kesemua (CV2X) yang membolehkan pengeluar automotif itu mereka bentuk dan membina kenderaan autonomi kalis masa depan yang kukuh.
Sumber: Bernama