Rangka kerja ESG industri pembuatan sedang digubal - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Rangka kerja ESG industri pembuatan sedang digubal

Rangka kerja ESG industri pembuatan sedang digubal

26 Ogo 2022

Penggubalan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kebangsaan bagi sektor pembuatan, selaras dengan status pelepasan gas rumah hijau sifar bersih Malaysia menjelang 2050.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kementerian akan menyediakan satu kerangka kerja untuk mengarusperdanakan elemen ESG dalam pembangunan sektor pembuatan yang akan merangkumi empat perkara utama iaitu standard ESG, sokongan kewangan dan insentif, pembinaan keupayaan serta mekanisma pasaran seperti kredit karbon dan harga karbon.

Katanya, ia akan dirangka berdasarkan konsultasi dan libat urus dengan pemegang taruh tempatan mahupun antarabangsa, yang terbabit dalam sektor pembuatan, kawal selia dan kewangan.

Jelasnya, kemajuan kerangka kerja berkenaan adalah bergantung kepada peringkat pencapaian dalam libat urus dan kolaborasi bersama pemegang taruh.

“Seiring dengan matlamat Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), MITI akan memperhebatkan fokus kepada sektor seperti ekonomi digital, elektrik dan elektronik (E&E), farmaseutikal, kimia dan aeroangkasa yang mempunyai potensi ekonomi yang ketara dan manfaat jangka panjang yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Dialog MITI 2022 yang menyaksikan perbincangan dan bertukar pandangan bersama wakil perniagaan, persatuan industri Malaysia serta dewan perniagaan kebangsaan dan antarabangsa berkenaan strategi serta mencari penyelesaian yang terbaik dalam membangun ekosistem perdagangan dan pelaburan negara.

Acara dialog tahunan itu adalah inisiatif MITI melalui pendekatan perundingan terhadap pihak berkepentingan dalam membantu merangka dan mengkaji semula dasar untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara melalui peningkatan perdagangan antarabangsa, pembangunan industri yang mampan dan pelaburan berkualiti.

Sesi dialog itu meraih pembabitan lebih 12 kementerian dan 151 pertubuhan dalam menghasilkan suatu perbincangan yang amat produktif.

MITI telah menerima 96 memorandum yang merangkumi 24 kategori daripada sejumlah 396 isu yang dikemukakan bersama dengan usul untuk pertimbangan kerajaan.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan bertekad memastikan kemajuan produktiviti dan daya saing, meskipun kuasa inflasi global di luar kawalan.

Mengenai pekerja asing, beliau menegaskan bahawa industri Malaysia perlu mencari penyelesaian jangka panjang ke arah menangani masalah kebergantungan kepada tenaga kerja berkemahiran rendah.

Beliau juga menggesa sektor pembuatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk terus melabur dan menggunakan teknologi pembuatan termaju untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

MITI kekal komited untuk bekerjasama dalam menangani cabaran ke arah pemulihan ekonomi Malaysia dan kedudukan yang lebih kukuh sebagai negara perdagangan global.

Beberapa cadangan yang diketengahkan dalam Dialog MITI akan dipanjangkan untuk pertimbangan Kementerian Kewangan dalam penggubalan Bajet 2023.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon