RCEP kekalkan status Malaysia sebagai destinasi pelaburan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


RCEP kekalkan status Malaysia sebagai destinasi pelaburan

RCEP kekalkan status Malaysia sebagai destinasi pelaburan

06 Ogo 2021

Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan menjadi penyumbang bagi mengekalkan status Malaysia sebagai hab dagangan kompetitif dan destinasi pelaburan di ASEAN.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata RCEP juga akan memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengembangkan capaian global dan mengukuhkan peranan penting sebagai tulang belakang ekonomi ASEAN.

“Memeterai RCEP bukan sahaja membuktikan komitmen dan keazaman Malaysia untuk memantapkan sistem dagangan pelbagai hala tetapi juga sebagai instrumen pemulihan ekonomi bagi menangani COVID-19 yang membantu memastikan pembukaan berterusan pasaran serta aliran barangan tanpa gangguan dan meningkatkan rantaian bekalan serantau,” katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan sambutan Hari ASEAN ke-54.

Majlis peringatan secara maya itu diketuai oleh Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga ketua delegasi Malaysia dan tonggak politik-keselamatan ASEAN, serta dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri sebagai ketua tonggak sosio budaya ASEAN.

Manakala, Mohamed Azmin mewakili tonggak ekonomi ASEAN.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), permeteraian perjanjian RCEP pada November 2020 adalah satu pencapaian penting ASEAN semasa tempoh ketidaktentuan global yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Selain itu, Kerangka Perjanjian Koridor Perjalanan ASEAN (ATCAF) dan ratifikasi RCEP dikenal pasti sebagai antara instrumen utama bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi di bawah Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF),” katanya.

MITI berkata, di bawah pengerusian Brunei Darussalam yang bertemakan ‘We Care, We Prepare, We Prosper’ tahun ini, ASEAN bergerak maju ke arah pemulihan ekonomi menerusi pelbagai inisiatif di bawah ACRF, termasuk ATCAF.

Sementara itu, MITI berkata ASEAN Online Sale Day (AOSD) akan berlangsung di laman web http://aseanonlinesaleday.com/ bermula 8 hingga 10 Ogos 2021, bagi meraikan Hari ASEAN ke-54.

“Inisiatif AOSD dilancarkan pada 2020, di tengah-tengah peningkatan penggunaan teknologi dan pendigitalan di rantau ini sejak bermulanya pandemik awal tahun lalu,” katanya sambil menambah lebih 40 PKS Malaysia mengambil bahagian dalam jualan tahun ini.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon