Sabah harap tingkatkan hubungan dua hala dengan Brunei - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sabah harap tingkatkan hubungan dua hala dengan Brunei

Sabah harap tingkatkan hubungan dua hala dengan Brunei

29 Sep 2022

Sabah berharap hubungan dua hala dengan Brunei terus dipertingkatkan selepas pembukaan semula sempadan kedua-dua negara, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau optimis bahawa kerjasama dalam pelbagai sektor terutama perdagangan akan terus berkembang berdasarkan peningkatan perdagangan Sabah dengan Brunei yang lebih empat kali ganda daripada RM311.7 juta pada 2017 kepada RM1.48 bilion pada Ogos tahun ini.

“Sabah sentiasa mementingkan hubungan dengan Brunei,” katanya dalam kenyataan selepas menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei hari ini.

Ketua Menteri berkata Sabah juga mengalu-alukan pelancong dari Brunei, yang berkembang selepas pembukaan semula sempadan dengan penerbangan pertama syarikat penerbangan Royal Brunei ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 6 Mei tahun ini.

“Susulan pembukaan semula sempadan, rakyat Brunei turut melalui jalan darat untuk ke Sabah bermula 1 Ogos lepas. Sebanyak 78,605 rakyat Brunei melawat Sabah pada 2019 namun merosot kepada 5,494 pada 2020 berikutan penutupan sempadan,” katanya.

Pada pertemuan itu, Hajiji turut berkongsi dengan Sultan Hassanal Bolkiah pencapaian pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju yang dilaksanakan kerajaan Sabah.

“Sejak Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) mengambil alih tampuk pimpinan negeri dua tahun lepas, Sabah mencatatkan pendapatan RM5.449 bilion pada 2021,” katanya.

Menurut beliau, Sabah juga telah mencapai RM389 juta dalam pelaburan domestik dari Januari hingga Jun 2022 dan RM9.9 bilion dalam Pelaburan Langsung Asing (FDI) dari Januari hingga September tahun ini.

Hajiji dalam lawatan sehari ke Brunei hari ini, iaitu yang pertama sejak dilantik sebagai Ketua Menteri, turut menyampaikan jemputan kepada Sultan Hassanal Bolkiah untuk lawatan timbal balas ke negeri di Bawah Bayu.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon