Sabah mahu menarik lebih ramai pelabur buka kilang proses rumpai laut - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sabah mahu menarik lebih ramai pelabur buka kilang proses rumpai laut

Sabah mahu menarik lebih ramai pelabur buka kilang proses rumpai laut

24 Jun 2022

Sabah mahu menarik lebih ramai pelabur terutamanya dari luar negara untuk membuka kilang pemprosesan rumpai laut di negeri itu, seterusnya memajukan industri berkenaan sebagai pemangkin kemajuan ekonomi tempatan.

Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Sabah, Azhar Kassim berkata industri rumpai laut di Sabah adalah amat berpotensi dengan meraih pendapatan bagi rumpai laut mentah sehingga RM50 juta sehingga RM60 juta setahun dan pengeluaran sekitar 18,000 tan metrik setahun, sejak tiga tahun lepas.

“Ini data semasa rumpai laut kering yang kita ambil. Data ini (pendapatan) boleh meningkat sehingga tiga hingga empat kali ganda jika rumpai laut itu dapat kita proses dan eksport,” katanya dalam temubual dengan Bernama.

Beliau berkata, ketika ini komoditi dalam bentuk mentah dan kering itu dieksport ke China, Jepun, Filipina dan Indonesia yang memberi manfaat kepada kira-kira 1,200 pengusaha di Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Tawau.

Mengulas selanjutnya, Azhar berkata Sabah diintai oleh dua pelabur berpotensi dari China dan Semenanjung Malaysia yang mempunyai usaha sama dengan pelabur Eropah untuk melabur dalam industri rumpai laut di negeri berkenaan.

Katanya pelabur berkenaan kini membuat kajian dari segi kebolehlaksanaan pembangunan industri itu termasuk jumlah rumpai laut yang boleh diperolehi.

“Mereka telah berhubung dengan jabatan (perikanan). Jadi, hasrat mereka adalah cuba membuka kilang atau ambil alih kilang yang sudah sedia ada atau kilang yang ditutup untuk mereka cuba bangunkan.

“Perkara ini masih di peringkat penelitian dan kita memang memberi kerjasama kepada pelabur berminat. Memang harapan kita untuk pelabur buka kilang…ada pelabur yang berbincang dengan pihak kita, menyatakan mahu membuka kilang yang besar di satu daerah,” katanya. 

Menurut Azhar pewujudan kilang pemprosesan rumpai laut itu akan memberi nilai tambah, sekali gus membangunkan industri berasaskan komoditi berkenaan di Sabah dan menyumbang pendapatan tambahan kepada ekonomi negara.

“Kalau kilang ini dapat menghasilkan untuk serbuk karaginan separa bertapis dan lebih baik, karaginan bertapis, itu cukup bagus kerana eksport rumpai laut kita telah ada nilai tambah. 

“Sebanyak 90 peratus kegunaan rumpai laut adalah untuk industri seperti farmaseutikal dan kosmetik.Hanya sedikit untuk industri makanan,” katanya sambil menambah pewujudan kilang itu akan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon