Sabah, Sarawak perlukan modal insan dinamik kembangkan pelaburan jangka panjang - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sabah, Sarawak perlukan modal insan dinamik kembangkan pelaburan jangka panjang

Sabah, Sarawak perlukan modal insan dinamik kembangkan pelaburan jangka panjang

07 Jul 2023

Kerajaan Sabah menyokong sebarang usaha memacu aktiviti ekonomi dan memupuk pembangunan modal insan bagi mengembangkan pelaburan jangka panjang ke negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ekonomi Sabah ketika ini kekal berdaya tahan dan terbaik.

Katanya, ia terbukti bagi tahun 2020 hingga 2022, Sabah memperoleh pelaburan bernilai RM11.5 bilion dengan 89 projek dan dapat menjana lebih 4,500 peluang pekerjaan untuk rakyat di negeri ini.

“Daripada RM11.5 bilion itu, RM9.2 bilion terdiri daripada pelaburan langsung asing (FDI) dan RM2.3 bilion lagi adalah pelaburan domestik.

“Ini mewakili 72.9 peratus daripada pelaburan atau RM8.4 bilion bagi sektor pembuatan, manakala sektor utama terdiri daripada pertanian, perlombongan, komoditi dan perladangan (RM1.6 bilion) dan sektor perkhidmatan (RM1.5 bilion),” katanya.

Selain itu, katanya, projek Keluli Hijau Bersepadu, bernilai RM19.6 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang, dijangka mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada masyarakat setempat.

Beliau berkata demikian dalam Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023: Wilayah Borneo yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan, dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima, Dr Jeffrey Kitingan. Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

Menurutnya, Borneo Malaysia dalam masa terdekat akan mempunyai infrastruktur terbaik dan mampu mengembangkan aktiviti ekonomi ke lokasi yang sebelum ini tidak boleh diakses di kedua-dua negeri ini.

“Dengan siapnya projek Lebuhraya Pan Borneo ditambah dengan pembinaan Fasa Dua dan Tiga Jalan Hubungan Sabah-Sarawak (SSLR) ia akan memantapkan lagi jaringan pengangkutan Sabah dan Sarawak.

“Namun, kita memerlukan tenaga kerja mahir yang dinamik dan tangkas untuk mengekalkan serta mengembangkan pelaburan ini dalam jangka masa panjang.

“Modal insan adalah penting dalam memastikan Sabah mengekalkan infrastruktur yang dibangunkan dengan baik dan terus mendahului persaingan yang semakin meningkat di Asia Tenggara,” katanya.

Hajiji berkata, NHCCE adalah program yang tepat pada masanya kerana meletakkan kepentingan dalam membangunkan modal insan untuk Sabah dan Sarawak.

“Ini akan meletakkan kita dalam kedudukan yang lebih kukuh bagi memastikan kejayaan semua projek pembangunan semasa dan akan datang.

“Ia juga platform untuk kerajaan, ahli akademik, pemain industri, malah profesional yang bekerja di Sabah dan Sarawak membincangkan cabaran serta peluang modal insan di sini,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon