Sabah terima pelaburan RM2 bilion daripada SBH Kibing
17 Mac 2022
Kerajaan negeri Sabah menerusi Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) Sdn Bhd hari ini menandatangani perjanjian pajakan dengan SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd (SBH Kibing) untuk membuka kilang pembuatan panel kaca solar.
Timbalan Ketua Menteri Sabah III Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata kilang yang terletak di kawasan seluas 52.77 hektar tanah di zon perindustrian tujuh, fasa dua, KKIP itu dijangka beroperasi pada 2024.
Ia merupakan komponen daripada pelaburan RM2 bilion daripada syarikat dari China itu.
Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah dan Pengerusi KKIP Sdn Bhd berkata dua lagi komponen pelaburan tersebut ialah perlombongan pasir silika, dan kilang pemprosesan pasir silika yang akan berpangkalan di Sikuati, Kudat.
“Anggaran 1,800 peluang pekerjaan akan diwujudkan bagi kilang panel kaca solar di KKIP, dan 300 lagi pekerjaan untuk kilang pemprosesan pasir silika di Sikuati,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian itu di KKIP, di sini hari ini.
Perjanjian pajakan selama 30 tahun itu ditandatangani oleh Joachim dan Presiden SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd Lin Hai dan disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.
Joachim berkata pemeteraian itu menandakan satu lagi pencapaian penting dari segi menjana pelaburan ke Sabah selain meningkatkan sumbangan sektor pembuatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri, di samping menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat.
“KKIP telah menarik pelaburan bernilai lebih 3.42 bilion dan mewujudkan lebih 10,000 pekerjaan daripada 242 kilang yang beroperasi, setakat ini,” katanya.
Sumber: Bernama