SACSB jual tanah di Senai RM68 juta
22 Dis 2021
MMC Corporation Bhd. melalui anak syarikatnya, Senai Airport City Sdn. Bhd. (SACSB) memeterai dua perjanjian jual beli bersama Wiwynn Technology Service (Malaysia) Sdn. Bhd. (Wiwynn Malaysia) untuk melupuskan dua tapak industri berukuran 4.8 hektar dan 7.8 hektar di Senai Airport City pada penilaian RM68.3 juta.
Wiwynn Malaysia merupakan subsidiari milik pernuh Wiwynn Corporation (Wiwynn), sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Taiwan.
Zon Perindustrian Bebas Senai Airport City dipilih Wiwynn sebagai lokasi untuk memperluaskan fasiliti pembuatan infrastruktur awannya, bagi membangunkan pelayan komputer berprestasi tinggi, produk penstoran dan penyelesaian untuk pusat data utama di rantau Asia Tenggara.
Senai Airport City merupakan satu-satunya kawasan pembangunan perindustrian di Iskandar Malaysia dengan Zon Perindustrian Bebas dan Zon Komersial Bebas seluas 161 hektar yang diwartakan bagi memenuhi keperluan industri berorientasikan eksport, sekali gus menjadi lokasi ideal untuk hab pengedaran utama serantau.
Naib Presiden Rantaian Bekalan dan Pembuatan Wiwynn, Robin Wang berkata, pembuatan di Malaysia adalah langkah penting dalam strategi pengembangan operasi globalnya.
“Lokasi ini memberi kami faedah geografi yang baik, kaya dengan tenaga pakar dan memberikan fleksibiliti operasi yang tinggi untuk mengembangkan perniagaan kami di rantau Asia Pasifik,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehingga kini, Senai Airport City telah melabur kira-kira RM550 juta ke atas plot perindustrian yang telah siap dengan kemudahan infrastruktur dan utiliti.
Melalui model pembangunan Plug-and-Play, ia memberi jaminan untuk mempercepatkan garis masa pembangunan buat pelabur, selain terletak dalam ekosistem industri pembuatan termaju di daerah Senai-Kulai.
Tahun ini, SACSB telah menerima tujuh pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik melibatkan penjualan tanah bersaiz 56 hektar, dengan semua pelabur menyasarkan untuk memulakan operasi pada tahun 2022 dan 2023.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SACSB, Gan Seng Keong berkata, kunci kejayaan Senai Airport City ialah penyediaan infrastruktur asas yang lengkap, ketersambungan dengan pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa serta lokasi strategiknya dalam ekosistem industri yang matang.
Sumber: Kosmo