Salcon cadang ceburi pengeluaran sarung tangan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Salcon cadang ceburi pengeluaran sarung tangan

Salcon cadang ceburi pengeluaran sarung tangan

12 Mei 2021

Salcon Bhd berharap dapat menyelesaikan langkah mempelbagaikan perniagaan dengan menceburi segmen pembuatan dan penjualan sarung tangan getah melalui persetujuan pemegang sahamnya dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) akan datang.

Firma kejuruteraan air dan sisa kumbahan itu juga menyasarkan cabang perniagaan barunya itu dalam pembuatan sarung tangan getah akan menjadi penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Dalam satu nota kepada Bursa Malaysia, Salcon berkata, cadangan itu diambil setelah Salcon memperoleh baki 10 peratus kepentingan dalam Nusantara Jasakita Sdn Bhd (NJSB) pada 10 Mei lalu, menjadikan NJSB anak syarikat milik penuhnya.

Salcon berkata pada 12 November 2020, NJSB telah membuat perjanjian penjualan saham (SSA) dengan Ganesan Subramaniam bagi memperoleh 1.02 juta saham biasa dalam JR Engineering dan Medical Technologies (M) Sdn Bhd (JREMT) pada pertimbangan tunai sebanyak RM28.56 juta. 

“Ahli Lembaga Pengarah pada masa ini menjangkakan bahawa perniagaan sarung tangan mungkin menjadi salah satu penyumbang utama kepada pendapatan dan keuntungan bersih Salcon dan anak syarikatnya pada masa hadapan.

“Oleh itu kumpulan mencadangkan untuk mendapatkan persetujuan daripada pemegang sahamnya untuk Cadangan Kepelbagaian pada EGM yang akan diadakan.

“Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka dan tertakluk kepada penerimaan kelulusan yang diperlukan,  Lembaga Pengarah mengharapkan kepelbagaian yang dicadangkan akan dilaksanakan serta merta setelah memperoleh 

persetujuan pemegang saham Salcon pada EGM yang akan diadakan.,” katanya.

JREMT adalah syarikat yang terbabit dalam pembuatan dan perdagangan sarung tangan getah, nitril dan perubatan serta penyediaan khidmat nasihat dan perundingan kepada industri sarung tangan getah selama 20 tahun. JREMT juga merekodkan prestasi kewangan positif sejak tiga tahun yang lalu.

JREMT mempunyai kemudahan pengeluaran dengan empat barisan di Rasa, Selangor yang mampu mengeluarkan 420 juta sarung tangan setiap tahun. 

Produknya juga dipasarkan di lebih daripada 163 pelanggan dari 16 negara.

Salcon berkata, kumpulan juga berusaha untuk mendirikan kilang pembuatan sarung tangan baru bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran yang ada untuk memanfaatkan lonjakan permintaan global.

Kumpulan juga katanya akan terus memantau dan menilai aliran permintaan global untuk sarung tangan dan kehendak strategi perniagaan dengan sewajarnya termasuk menggunakan kapasiti pengembangan agar sesuai dengan persekitaran pasaran disamping mencapai pertumbuhan yang mampan.

Eksport getah asli Malaysia pada Mac 2021 adalah berjumlah 58,852 tan, meningkat sebanyak  7.7 peratus berbanding 54.632 tan pada Februari 2021. 

Katanya, sarung tangan getah juga adalah barang eksport utama dengan nilai eksport RM6.4 bilion pada Mac 2021, meningkat 9.4 peratus berbanding Februari 2021 (RM5.8 bilion). 

Amerika Syarikat juga katanya adalah pengimport sarung tangan getah tertinggi diikuti oleh Jerman dan China.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon