Sarawak mahu dapatkan kepakaran Korea Selatan bangun industri hijau
09 Jun 2022
Sarawak berharap untuk mendapatkan kepakaran Korea Selatan bagi membangunkan industri hijau di negeri ini, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, negeri itu dan republik tersebut boleh meneroka bersama potensi Sarawak sebagai wilayah bagi Perolehan, Penggunaan dan Simpanan Karbon (CCUS) serta dalam pengeluaran bahan api penerbangan alternatif seperti Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).
“Walaupun Sarawak adalah negeri di sebuah negara yang kecil, kami memiliki sumber semula jadi. Kami perlukan teknologi dan kepakaran untuk menambah nilai sumber kami dan menyumbang kepada keperluan dunia bagi alam sekitar yang hijau,” katanya semasa berucap pada Forum Perniagaan Tenaga Sarawak-Korea, di sini.
Pada majlis tersebut yang turut dihadiri oleh duta Korea Selatan ke Malaysia, Lee Chi Beom, Abang Johari berkata CCUS boleh mempercepat pertumbuhan ekonomi Asia Tenggara ke arah sasaran pelepasan karbon sifar-bersih.
“Di Sarawak, kami baru-baru ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022 yang memberikan kami kedudukan lebih baik untuk membangunkan CCUS sebagai teknologi mitigasi yang berkuasa bagi mencapai ekonomi rendah karbon,” katanya.
Abang Johari berkata Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) juga bekerjasama dengan Airbus dan Rolls Royce menerusi Pusat Inovasi Aerospace Malaysia (AMIC) untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan hidrogen hijau dan sel bahan api sebagai bahan api penerbangan pada masa depan.
Beliau berkata projek perintis ini merupakan satu langkah kehadapan bagi Sarawak untuk menghasilkan bahan api penerbangan alternatif seperti SAF, yang boleh menjadi kunci kepada perjalanan udara yang mampan dalam peralihan kepada bahan api karbon rendah dan pengurangan karbon industri penerbangan.
“Saya percaya ada peluang besar bagi Sarawak dan Korea Selatan ke arah penggunaan SAF pada masa depan yang boleh memberi manfaat tambahan kepada ekonomi, alam sekitar dan sosial,” katanya.
Premier Sarawak itu berkata negeri tersebut dan Korea Selatan menjalin hubungan yang baik sejak 1970-an dan negara tersebut menjadi pengimport ketiga terbesar gas asli cecair Sarawak selepas Jepun dan China, melibatkan 4.9 juta tan metrik pada 2020 dengan nilai RM5.9 bilion.
Perniagaan ini juga menyaksikan Sarawak memberikan kontrak bernilai US$1.07 bilion kepada Samsung Engineering Co Ltd dari Korea Selatan untuk menyediakan khidmat pelesenan, kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian projek methanol Sarawak di Tanjung Kidurong di Bintulu.
Sumber: Bernama