Sarawak optimis capai pendapatan tinggi menjelang 2030
08 Jul 2023
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis sasaran kerajaan negeri untuk meningkatkan purata pendapatan isi rumah menjelang 2030 akan dicapai lebih awal, berikutan pengiktirafan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia baru-baru ini.
Beliau berkata, menerusi projek metanol yang bakal beroperasi awal tahun depan dan sektor pembuatan dijangka mengalami lonjakan, sekali gus menaikkan pendapatan pekerja di sektor berkenaan.
“Menerusi projek metanol, kita dah ada asas kimia untuk menghasilkan industri hiliran berasaskan metanol, oleh itu, sektor pembuatan bertambah dan ini akan meningkatkan pendapatan negeri, seterusnya menghasilkan gaji yang tinggi kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Falak Nusantara 2023 di Tebingan Kuching, hari ini.
Katanya, langkah meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat Sarawak turut digariskan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 yang antaranya menekankan penggunaan teknologi baharu, seterusnya menghasilkan peluang pekerjaan.
Abang Johari berkata, buat masa ini, sektor terbesar yang menyumbang kepada pendapatan negara kasar (PNK) negeri membabitkan sektor perkhidmatan.
Katanya, melihat kepada pertumbuhan ekonomi di Sarawak yang positif, beliau memberi bayangan pendapatan negeri pada tahun ini akan mengalami peningkatan.
Khamis lalu, Ahli Ekonomi Bank Dunia, Apurva Sanghi, dalam catatan di Twitternya berkata Sarawak kini adalah sebuah negeri berpendapatan tinggi dengan pendapatan negara kasar (PNK) negeri melebihi ambang pendapatan tinggi.
Sumber: Bernama