Sasar pertingkat Kapasiti Tenaga Boleh Baharu kepada 70 peratus - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sasar pertingkat Kapasiti Tenaga Boleh Baharu kepada 70 peratus

Sasar pertingkat Kapasiti Tenaga Boleh Baharu kepada 70 peratus

09 Mei 2023

Kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam sistem pembekalan elektrik disasar untuk ditingkatkan kepada 70 peratus menjelang 2050 bagi mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada negara serta menarik syarikat multinasional khususnya syarikat Renewable Energy 100 (RE100) untuk beroperasi di negara ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, mesyuarat jemaah menteri pada 3 Mei lepas bersetuju untuk meningkatkan kapasiti TBB kepada 70 peratus menjelang 2050 di bawah Hala Tuju Pembangunan Strategik TBB selepas meneliti memorandum mengenai Hala Tuju Pembangunan dan Dasar Perdagangan TBB yang dibentangkannya.

Dalam sidang media bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, di sini, hari ini, Rafizi berkata, setakat Disember 2022, jumlah kapasiti terpasang TBB dalam pembekalan elektrik negara adalah sebanyak 25 peratus.

Beliau berkata, peningkatan kapasiti TBB itu akan membolehkan lebihan kapasiti yang dijana didagangkan merentas sempadan dengan negara jiran di rantau ini menerusi mekanisme yang akan dibangunkan dan ditetapkan kerajaan melalui sistem pasaran tenaga elektrik rentas sempadan dibawah Dasar Perdagangan TBB.

“Kewujudan sistem pasaran tenaga elektrik untuk melaksanakan perdagangan TBB rentas sempadan akan meletakkan Malaysia di depan sebagai pusat TBB serantau,” katanya.

Rafizi berkata, penetapan sasaran baru kapasiti TBB dan campuran tenaga yang meningkatkan peralihan kepada TBB sebanyak 11 kali ganda dari tahun 2023 ke 2050 akan meredakan kos elektrik rakyat dalam tempoh masa jangka panjang apabila penjanaan tenaga elektrik beralih kepada TBB.

Menurutnya, kabinet juga bersetuju supaya pemasangan sistem solar di bangunan kerajaan dipercepat dan dipertingkat melalui penyediaan peruntukan pembangunan bagi memberi manfaat secara terus dari segi penjimatan bil elektrik kepada kementerian dan agensi kerajaan.

“Sejumlah RM50 juta diperuntukkan segera untuk memasang infrastruktur solar di bumbung dan kemudahan kerajaan di seluruh negara dalam tempoh enam bulan sebelum akhir tahun ini, sementara peruntukan yang lebih besar akan diberikan bagi tujuan ini dalam perbelanjaan pembangunan yang akan datang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon